[TERKINI] PRN Sabah: Guna AI secara bertanggungjawab bagi kukuhkan demokrasi
![[TERKINI] PRN Sabah: Guna AI secara bertanggungjawab bagi kukuhkan demokrasi [TERKINI] PRN Sabah: Guna AI secara bertanggungjawab bagi kukuhkan demokrasi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/81763363976_TBprnsabah.jpg)
SPR menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala pengundian awal 25 Nov. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab bagi mengukuhkan serta meraikan amalan demokrasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, bukannya digunakan hingga menjejaskannya.
Ringkasan AI
- Teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab bagi mengukuhkan amalan demokrasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
- Penggunaan AI dalam kempen politik boleh mengancam integriti PRN Sabah Ke-17 terutamanya melalui penyebaran maklumat palsu yang digerakkan oleh teknologi.
- Pendidikan literasi AI perlu ditingkatkan, terutamanya di kalangan golongan muda Sabah, bagi memastikan keupayaan membezakan maklumat palsu dan tulen dalam era digital ini.
"Calon menggunakan AI untuk inovasi sah seperti local chatbot yang menjawab pertanyaan pengundi mengenai logistik pengundian atau platform automatik yang mengumpul maklum balas kawasan mengenai keutamaan infrastruktur, patut diiktiraf dan disambut baik," katanya kepada Bernama.
SPR menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala pengundian awal 25 Nov.
DUN Sabah mempunyai 73 kerusi manakala Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 5 Okt lepas, menyaksikan 1,784,843 pemilih terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera serta pasangan dan 12,729 anggota polis serta pasangan.
Azizan juga Pensyarah Kanan UMS berkepakaran dalam penyelidikan kuantitatif dan kualitatif sosial berkata manipulasi dipacu AI memberikan ancaman kepada integriti PRN Sabah Ke-17.
Beliau memberi contoh bagaimana video palsu yang dijana melalui aplikasi pengimejan AI boleh digunakan dalam kempen bagi menggambarkan seolah-olah projek infrastruktur di Sabah gagal berfungsi, sekali gus menimbulkan kekecewaan awam terhadap kemudahan asas seperti air, jalan raya dan elektrik.
"Algoritma media sosial, yang menyusun kandungan berdasarkan interaksi sebelumnya, secara tidak sengaja juga boleh 'mengurung' pengundi terutamanya generasi muda yang kerap menggunakan media sosial ke 'ruang' maklumat palsu politik," katanya.
Beliau berkata kesan ruang ini membesarkan dakwaan sensasi sama ada mengenai kegagalan infrastruktur atau manifesto yang dibesar-besarkan bagi kepentingan pihak tertentu, sambil 'membisukan' wacana berasaskan fakta.
Azizan berkata keperluan mendesak untuk meningkatkan pengetahuan AI tidak boleh dipandang remeh kerana pengundi muda Sabah sering menggunakan berita politik dan bahan kempen dalam talian untuk maklumat mereka.
"Namun kemahiran literasi AI dan media mereka, terutamanya keupayaan untuk membezakan kepalsuan AI daripada rakaman tulen, masih kurang.
"Jika golongan muda Sabah mahu menjadi penjaga sebenar demokrasi dan bukannya pengguna data pasif, sistem pendidikan mesti menyepadukan modul kewarganegaraan digital merangkumi etika AI, teknik semakan fakta dan sains," katanya.
Beliau berkata apabila pengundi pergi ke tempat mengundi untuk PRN ini, mereka bukan sekadar mengundi mengenai rancangan infrastruktur atau platform parti tetapi memilih bagaimana Sabah akan mengharungi cabaran abad ke-21 berupa automasi, maklumat salah, kemasukan digital dan paling utama AI.
"Kini terpulang kepada rakyat, pemimpin, pendidik dan rakyat Sabah untuk memutuskan sama ada AI akan menjadi 'baji' yang memecah-belahkan atau jambatan yang menyatukan, sama ada negeri kita akan muncul terpecah oleh ketakutan teknokratik atau dikukuhkan komitmen kolektif demokrasi," katanya.
Azizan berkata dalam keseimbangan terletak bukan sahaja hasil pilihan raya tetapi bentuk masa depan demokrasi dan peluang di Malaysia Timur.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

