[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

[TERKINI] PRN Sabah: Kekangan dana cabaran bawa pulang pengundi belia

Asyraf Malik 27/11/2025 | 12:46 MYT
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini akan menentukan hala tuju negeri itu meliputi segenap tadbir urus. -Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Belia dijangka menjadi penentu utama keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, namun kekangan kewangan dan kekurangan akses maklumat politik dilihat membataskan pergerakan kelompok itu pulang mengundi.

Pengasas Bersama HAI MANDAK!, Priska Magdalena Sinem berkata 54 peratus daripada keseluruhan pengundi di Sabah pada pilihan raya kali ini terdiri daripada anak muda, mereka berupaya menentukan landskap politik negeri.

"Namun hampir 200,000 hingga 400,000 anak Sabah kini berada di luar negeri, sama ada bekerja atau meyambung pengajian.

"Agak rugi di situ kerana belia sekarang lebih progresif. Jika diberi peluang untuk bersuara melalui undi, saya percaya akan ada perubahan di Sabah," ujar Priska dalam satu temu bual bersama Astro AWANI pada Khamis.

Sebagai inisiatif menggalakkan belia untuk pulang mengundi dalam PRN-17 Sabah, HAI MANDAK! melancarkan beberapa kempen di platform media sosial seperti penghasilan video pendek dan ruang sesi perkongsian.

"Bagaimanapun kempen membawa pulang pengundi belia berdepan cabaran besar. Untuk rekod, lebih 1,500 anak Sabah mendaftar dengan kami untuk bantuan pulang mengundi, namun hanya 18 orang berjaya dibantu kerana kekurangan dana.

"Kami menghubungi lebih 90 syarikat untuk mendapatkan tajaan, namun tidak menerima sebarang maklum balas positif berkaitan tajaan. Akhirnya kami terpaksa bergantung kepada sumbangan orang awam," ujar Priska.

Mengulas isu kritikal yang menjadi perhatian pengundi muda, Priska berkata rata-ratanya mahukan isu peluang pekerjaan, pendidikan serta infrastruktur asas dinoktahkan.

"Ramai belia keluar dari Sabah kerana peluang pekerjaan yang tidak banyak, ini satu isu mendesak.

"Sehingga kini, belia masih menunggu manifesto yang jelas dan kukuh untuk menjulang nasib belia. Kami sekarang lebih kritis, kami mahu tahu apa solusi sebenar, bukan sekadar janji secara umum," kata Priska.


#PRN-17 Sabah #pengundi belia #HAI MANDAK #landskap politik negeri