Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

[TERKINI] PRN Sabah: Pejuang nafi bertanding, buat laporan polis

Astro Awani 15/11/2025 | 13:51 MYT
Rafique memaklumkan Pejuang telah bersetuju untuk menyokong kempen calon-calon Perikatan Nasional (PN) di 41 kerusi yang ditandingi.
KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menegaskan bahawa parti itu tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa wujud calon yang mewakili parti berkenaan.

Menurut Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid, Majlis Eksekutif Pusat (MEP) selaku badan kepimpinan tertinggi parti tidak pernah memberi mandat kepada mana-mana individu untuk bertanding pada PRN Sabah 2025 atas nama parti.

Beliau menegaskan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, juga tidak pernah mengeluarkan sebarang watikah pencalonan kepada mana-mana pihak bagi tujuan itu.

Namun, isu timbul apabila salah seorang calon bagi kerusi N.25 Kapayan diumumkan sebagai calon mewakili Pejuang dan ditampilkan bersama logo parti. Pejuang menyifatkan perkara tersebut sebagai tindakan salah guna identiti parti.

“Wakil Pejuang Sabah telah diarahkan membuat laporan polis segera kerana penggunaan salah dan penipuan terhadap logo Pejuang.

“Pejuang telah bersetuju untuk menyokong dan membantu kempen calon-calon Perikatan Nasional (PN) di 41 kerusi yang dimasuki gabungan tersebut bagi PRN Sabah 2025,” kata Rafique dalam kenyataannya.

Dalam kenyataannya, Rafique turut memaklumkan Pejuang telah bersetuju untuk menyokong kempen calon-calon Perikatan Nasional (PN) di 41 kerusi yang ditandingi gabungan tersebut pada PRN Sabah 2025.

Mukhriz dijadual berada di Sabah dari 21 hingga 23 November, bersama kepimpinan Pejuang dari Semenanjung dan Sabah, bagi membantu jentera PN mencapai kemenangan di negeri itu.


#Pejuang #PRN #Sabah