MALAYSIA

[TERKINI] PRN Sabah: Penduduk Kampung Gas rayu penyelesaian segera projek PPRT

Syaff Syukri 14/11/2025 | 07:59 MYT
Penduduk mendakwa, rumah-rumah tersebut masih tidak boleh didiami kerana belum mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jambatan penghubung. - Gambar/ Astro AWANI
SANDAKAN: Penduduk Kampung Gas, di sini, terus menagih penyelesaian segera berhubung penantian mereka untuk menduduki Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina untuk mangsa kebakaran tahun 2018.


Ringkasan AI
  • Penduduk Kampung Gas menagih penyelesaian segera berhubung Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang masih belum boleh didiami selepas tujuh tahun kebakaran tahun 2018.
  • Kekurangan kemudahan asas seperti elektrik, air, dan jambatan penghubung menyukarkan penduduk untuk pindah ke rumah PPRT yang sudah siap dibina.
  • Kebakaran pada 2018 menyebabkan 90 rumah musnah dan lebih 400 penduduk kehilangan tempat tinggal, menyebabkan mereka ditempatkan di rumah kontena sementara yang kini sudah usang.


Selepas tujuh tahun hidup dalam keadaan serba kekurangan, termasuk terpaksa menyewa, berpindah-randah dan menumpang rumah saudara, mereka berharap kediaman yang sudah siap dibina itu dapat dilengkapkan secepat mungkin.

Mereka mendakwa, rumah-rumah tersebut masih tidak boleh didiami kerana belum mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jambatan penghubung.

Menurut Nasir Ining, mereka benar-benar ingin mengetahui status sebenar projek PPRT yang mula dibangunkan pada Mei, tahun lalu itu.

“Rumah-rumah yang baru dibina ini sampai sekarang belum siap sepenuhnya. Lampu, air, jambatan pun belum ada. Macam mana mahu orang kampung pindah, itu masalah dia,” katanya.

Bagi Mohammad Din Pani pula, peningkatan kos sara hidup menyebabkan ramai dalam kalangan penerima rumah mendesak agar kediaman tersebut boleh dihuni segera.

“Orang sudah tujuh tahun sewa rumah sampai hari ini belum lagi boleh pindah. Api belum ada, air belum ada, jambatan belum ada, jadi macam mana?

“Gaji baru berapa, bayar rumah, hantar budak sekolah, bayar kereta, memang susah,” ujarnya.

Manakala bagi Mat Oto Odin, menzahirkan rasa kecewa kerana janji pembinaan jambatan dan penyediaan utiliti masih tidak dilaksanakan.

“Rumah siap, itu pun lewat. Tiada jambatan, tiada air, tiada lampu. Setahu saya sudah dijanjikan mahu dibina. Tapi sampai hari ini tiada tindakan, penyerahan pun belum boleh berlaku.

“Sekiranya tiada jambatan penghubung dibina, adakah kita (penduduk) perlu berenang untuk
masuk ke dalam rumah,” katanya.

Kebakaran yang berlaku pada 27 Jun 2018 itu memusnahkan 90 buah rumah dan menyebabkan lebih 400 penduduk hilang tempat tinggal.

Selepas insiden itu, mereka ditempatkan di rumah kontena sementara, namun keadaan kontena tersebut kini usang dan tidak kondusif.

Bagi penduduk, projek rumah PPRT ini adalah satu-satunya peluang untuk memulakan hidup dengan lebih stabil.

Untuk itu, mereka yang ditemui berharap proses melengkapkan kemudahan asas dapat disegerakan oleh pihak yang bertanggungjawab.
#PRN Sabah 2025 #rumah terbakar #projek pprt #Sandakan