MALAYSIA

[TERKINI] PRN Sabah: PPRT Kampung Gas hampir lengkap sepenuhnya, utiliti tidak termasuk skop projek

Syaff Syukri 14/11/2025 | 11:00 MYT
Hamidah menambah proses pra-lawatan CPC akan dijalankan sebagai langkah wajib sebelum penyerahan rumah dibuat. - Gambar Astro AWANI
SANDAKAN: Setiap unit rumah di bawah Projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Gas, di sini, akan melalui proses pengesahan siap pada bulan November ini.


Ringkasan AI
  • Pengesahan siap rumah di bawah Projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Gas dijangka selesai pada bulan November ini berdasarkan maklum balas Jurutera Awam ICU JPM Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Hamidah Abdul Hamid.
  • Hamidah menegaskan bahawa bekalan utiliti asas seperti elektrik dan air tidak termasuk dalam skop kerja kontraktor, pemilik rumah perlu memohon sendiri selepas penyerahan rasmi.
  • Proses pra-lawatan Certificate of Practical Completion (CPC) akan dilakukan sebelum penyerahan rumah untuk memastikan keselamatan dan fungsi komponen pembinaan.


Perkara itu dimaklumkan Jurutera Awam Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (PPN Sabah), Hamidah Abdul Hamid, sebagai respon kepada persoalan penduduk mengenai status penyerahan rumah baharu mereka.

Menurut Hamidah, rumah-rumah tersebut sebenarnya telah disiapkan pada bulan Oktober berdasarkan pemantauan di lapangan.

“Berdasarkan papan tanda kita memang sarankan projek siap pada bulan Mac, kita tahu juga berlaku kelewatan (disebabkan faktor) bahan dan cuaca.

“Menerusi laporan pemantauan, projek ini sebenarnya siap pada bulan Oktober tapi kita akan buat pengesahan siap pada bulan November.

“Kita akan buat pengesahan siap setiap rumah jadi kita akan pastikan struktur setiap rumah yang dibina menepati skop kerja lah,” katanya.

Hamidah berkata demikian kepada Astro AWANI di pejabat Majlis Perbandaran Sandakan, di sini, pada Khamis.

Selain itu, Hamidah menegaskan bahawa bekalan utiliti asas seperti bekalan elektrik dan air tidak termasuk dalam skop kerja kontraktor yang membina rumah PPRT berkenaan.

Oleh itu, permohonan pemasangan utiliti perlu dibuat oleh pemilik rumah selepas penyerahan rasmi dilakukan.

“Bagi utiliti tu dia tidak termasuk dalam skop kerja utama, jadi kita anggap bila penyerahan kepada pemilik rumah, kita minta untuk mereka sendiri memohon untuk elektrik dan air.

“Tetapi untuk jambatan perhubungan, kita difahamkan ia juga tidak termasuk dalam skop kerja pembinaan.

“Jadi kita sudah sarankan kepada Parlimen Batu Sapi untuk memohon kepada ICU dan (perkara ini) rasanya dalam tindakan juga,” katanya.

Sementara itu, Hamidah menjelaskan bahawa penduduk sebenarnya mengetahui perkembangan projek sejak awal.

Ini kerana sebahagian mangsa kebakaran masih tinggal berhampiran tapak pembangunan dan mereka dapat melihat sendiri pergerakan kontraktor, kemajuan pembinaan dan kerja-kerja terakhir sehingga rumah siap sepenuhnya.

Hamidah menambah, proses pra-lawatan Certificate of Practical Completion (CPC) akan dijalankan sebagai langkah wajib sebelum penyerahan rumah dibuat.

Pemeriksaan CPC ini ujarnya, penting untuk memastikan semua komponen pembinaan berada dalam keadaan selamat dan berfungsi.




#Jabatan Perdana Menteri #mangsa kebakaran #pengesahan siap #kerja pembinaan