MALAYSIA

[TERKINI] PRN Sabah: Ronald Kiandee gesa RUU Anti Lompat Parti diperketat demi kestabilan politik

Syaff Syukri 18/11/2025 | 02:50 MYT
Kiandee berkata, perkembangan politik semasa jelas menunjukkan undang-undang berkenaan mempunyai kelonggaran yang membuka ruang kepada tindakan lompat parti. - Gambar fail/Astro AWANI
SANDAKAN: Terdapat keperluan mendesak untuk memperkukuh Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di peringkat Persekutuan dan negeri bagi memastikan kestabilan politik benar-benar terjamin.


Ringkasan AI
  • Perlunya memperkukuh Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat Persekutuan dan negeri bagi mengekang tindakan wakil rakyat berpaling tadah yang masih berlaku.
  • Undang-undang anti lompat parti perlu diperbaiki dan diperkemas kerana kelonggaran dalam undang-undang sedia ada melemahkan semangat penggubalan akta tersebut.
  • Pembaharuan undang-undang diperlukan untuk memastikan kestabilan politik negara, menjaga mandat rakyat, dan keyakinan terhadap sistem demokrasi negara.


Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut, Datuk Seri Ronald Kiandee menegaskan, meskipun undang-undang anti lompat parti telah diluluskan di Parlimen dan dimaktubkan sebagai undang-undang negeri di Sabah, peruntukan sedia ada masih belum berkesan dalam mengekang tindakan wakil rakyat berpaling tadah.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, perkembangan politik semasa jelas menunjukkan undang-undang berkenaan mempunyai kelonggaran yang membuka ruang kepada tindakan lompat parti, sekali gus melemahkan semangat asal penggubalan akta tersebut.

“Di peringkat Persekutuan, walaupun undang-undang anti lompat parti sudah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan, rohnya tidak menghalang sepenuhnya Ahli Parlimen daripada melompat parti.

“Ini menunjukkan akta sedia ada perlu dikaji semula, diperbaiki dan diperkemas,” katanya.

Ronald mendakwa kerajaan kini tidak menunjukkan komitmen untuk menambah baik akta tersebut.

Ini kerana, ujarnya, kelemahan yang ada memberi kelebihan politik kepada pihak pemerintah, khususnya apabila wakil rakyat pembangkang memilih menyokong kerajaan.

“Mungkin kerana, kelonggaran itu memberi manfaat kepada kerajaan ketika ini.

“Yang melompat ialah ahli Parlimen pembangkang yang kini menjadi penyokong kerajaan. Jadi, sudah tentu mereka mendapat manfaat daripada kelemahan akta itu,” katanya lagi.

Beliau berkata, PN sendiri merasai kesan kelemahan undang-undang tersebut apabila enam Ahli Parlimennya bertindak meninggalkan blok pembangkang untuk menyokong kerajaan.

Sehubungan itu, Ronald menegaskan undang-undang anti lompat parti perlu ditambah baik secara menyeluruh bagi memastikan ia benar-benar berkesan menghalang tindakan keluar parti atas kepentingan politik tertentu.

“Kalau ia tidak diperketatkan, lebih baik tiada akta langsung kerana undang-undang yang longgar tidak akan memenuhi tujuan asal.

“Kita perlukan undang-undang yang tegas dan cekap untuk menghalang aktiviti lompat parti daripada berlaku,” ujarnya.

Menurut beliau, pembaharuan itu penting bukan sahaja demi kestabilan politik negara, tetapi juga bagi menjaga mandat rakyat dan keyakinan terhadap sistem demokrasi negara.

Pada 25 Mei 2023, DUN Sabah meluluskan RUU pindaan Perlembagaan Negeri Sabah bagi melarang Ahli DUN (ADUN) bertukar parti.

RUU Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan 2023) itu diluluskan selepas mendapat sokongan lebih dua pertiga ADUN yang hadir.

Keputusan itu dicapai selepas dua pengundian belah bahagian untuk Fasal 2 berkaitan pindaan Perkara 6 Perlembagaan Sabah dan pengundian bacaan ketiga RUU larangan bertukar parti.

Seramai 61 ADUN menyokong, manakala 14 tidak bersetuju dan empat lagi tidak hadir bagi pengundian belah bahagian Fasal 2, manakala 75 menyokong dan empat tidak hadir bagi pengundian bacaan ketiga RUU larangan bertukar parti.



#RUU anti lompat parti #PRN Sabah #Ronald Kiandee #lompat parti