[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

[TERKINI] Rombakan Kabinet: Akmal Nasrullah galas tugas Menteri Ekonomi baharu, ganti Rafizi

Bernama 16/12/2025 | 10:19 MYT
Akmal Nasrullah pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan ketika mula menyertai kabinet pada Disember 2022 sehingga Disember 2023.
KUALA LUMPUR: Perjalanan Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam kabinet kerajaan MADANI kini memasuki fasa baharu apabila beliau, selepas dua kali berkhidmat sebagai Timbalan Menteri di kementerian berbeza, dilantik sebagai Menteri Ekonomi.


Ringkasan AI
  • Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilantik sebagai Menteri Ekonomi dalam kabinet MADANI selepas dua penggal sebagai Timbalan Menteri di kementerian berbeza.
  • Beliau merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru dari PKR serta pernah berkhidmat di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dan INVOKE sebelum menyertai politik.
  • Akmal juga merupakan bekas pelajar MCKK dengan ijazah berganda dalam sains aktuari dan ekonomi dari Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat.


Akmal Nasrullah, 39, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air akan menggantikan Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletak jawatan pada 17 Jun lepas.

Dibesarkan di Johor Bahru, beliau juga pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan ketika mula menyertai kabinet pada Disember 2022 sehingga Disember 2023.

Ahli Parlimen Johor Bahru dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi penggal 2025 hingga 2028, selain mengekalkan kerusi Parlimen Johor Bahru selama dua penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum menyertai arena politik, Akmal Nasrullah pernah berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang peranan sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Beliau juga pernah menyertai INVOKE sebagai Ketua Pegawai Penyelidik, selain bergandingan bersama Rafizi sebagai pengasas bersama serta memegang jawatan pengarah di National Oversight and Whistleblowers Centre (NOW).

NOW merupakan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif pemantauan berteraskan suara rakyat serta usaha memperkasa peranan pemberi maklumat dalam masyarakat.

Akmal yang juga merupakan bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), pernah menuntut di Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat dan memperoleh ijazah berganda dalam bidang sains aktuari dan ekonomi.

-- BERNAMA


#Akmal Nasrullah Mohd Nasir #kabinet malaysia 2025 #Senarai Kabinet Malaysia 2025