[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

[TERKINI] Rombakan Kabinet: Antara konsesi politik dan strategi separuh penggal

Firdaus Azil 16/12/2025 | 05:45 MYT
Rombakan Kabinet Malaysia dijangka mengisi empat kekosongan portfolio utama dan memperkenalkan struktur baharu, mencerminkan strategi politik serta hala tuju ekonomi menjelang separuh penggal pentadbiran. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bukan sekadar mengisi kekosongan, tetapi turut mencerminkan strategi politik yang lebih mendalam menjelang separuh penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan.


Ringkasan AI
  • Rombakan Kabinet MADANI dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengisi kekosongan portfolio penting dan mencerminkan strategi politik yang lebih mendalam menjelang separuh penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
  • Kekosongan portfolio Kabinet MADANI disebabkan oleh peletakan jawatan beberapa menteri seperti Datuk Rafizi Ramli, Datuk Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Datuk Ewon Benedick.
  • Spekulasi mengenai calon baru termasuk Naib Presiden PKR R Ramanan, Adam Adli, dan Datuk Seri Reezal Merican yang mungkin dilantik sebagai menteri penuh dalam rombakan Kabinet MADANI.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Rombakan itu hampir pasti diadakan susulan kekosongan empat portfolio utama dalam Kabinet MADANI sejak pertengahan tahun ini.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli meletakkan jawatan pada Jun 2025 selepas kalah dalam pemilihan parti, dengan alasan tidak lagi mempunyai mandat parti untuk meneruskan agenda reformasi.

Selain itu, Datuk Nik Nazmi Nik Ahmad turut berundur sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar selepas gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR, dengan peletakan jawatan berkuat kuasa Julai 2025.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick pula meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada November 2025 kerana tidak bersetuju dengan pendirian kerajaan berhubung tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan.

Manakala, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meninggalkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) pada 2 Disember 2025 selepas tamat tempoh sebagai Senator, sekali gus mengosongkan kuota UMNO dalam portfolio ekonomi utama.

Siapa masuk, siapa keluar?

Antara spekulasi yang bertiup kencang ialah Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan bakal dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia (KESUMA), menggantikan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu dilihat sebagai calon yang berkelayakan untuk memegang portfolio MITI, atau mungkin terus menjadi Menteri Kewangan Kedua (MKII), bagi meredakan tekanan DAP dan memanfaatkan prestasi cemerlang beliau.

Selain itu, Adam Adli, yang baru dinamakan sebagai Pemangku Pengerusi PKR Melaka, dijangka dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh.

Ini menandakan usaha Perdana Menteri untuk memperkukuh generasi muda dalam sistem pentadbiran Kerajaan MADANI.

Manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang kini merupakan Menteri Peladangan dan Komoditi dilaporkan enggan menerima MITI, sebaliknya lebih berminat dengan MKII jika ditawarkan, jawatan yang pernah beliau sandang sewaktu era Datuk Seri Najib Tun Razak.

Portfolio Wilayah Persekutuan yang kini disandang Datuk Seri Dr Zaliha Mustapa, dijangka dikembalikan sebagai kementerian penuh, menandakan fokus baharu terhadap pembangunan Kuala Lumpur.

Selepas Tengku Zafrul meninggalkan MITI susulan tamat tempoh Senator, UMNO dilihat mahu mengisi semula kuota tersebut.

Nama Datuk Seri Reezal Merican, Pengerusi MIHAS dan MATRADE, disebut-sebut sebagai calon MITI, dengan sokongan kuat daripada UMNO.

Spekulasi turut bertiup kencang menyebut kemungkinan perubahan dalam portfolio pelancongan. Datuk Seri Nancy Shukri, yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), dikatakan bakal dilantik sebagai Menteri Pelancongan menggantikan Datuk Seri Tiong King Sing.

Jawatan yang ditinggalkan Nancy di kementerian semasa pula berpotensi diberikan kepada Hannah Yeoh, sebagai sebahagian daripada usaha mengekalkan keseimbangan politik antara parti komponen.

Selain itu, sumber turut berkata, Amir Hamzah, yang dikaitkan dengan kepimpinan sektor korporat, sebagai calon berpotensi untuk mengisi jawatan Menteri Ekonomi.

Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh pengurusan ekonomi negara dengan pendekatan teknokrat, selaras dengan cadangan meletakkan portfolio ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Malah, terdapat desakan agar beberapa Timbalan Menteri UMNO dinaikkan ke jawatan menteri penuh sebagai sebahagian daripada konsesi politik, dengan nama yang agak berpengalaman seperti Datuk Seri Noraini Ahmad, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Dalam pada itu, sumber juga menyebut Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup, yang memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 Nov lalu, mungkin diberi ganjaran dengan jawatan menteri penuh.

Langkah ini dilihat sebagai usaha mengekalkan kestabilan politik di Sabah dan mengukuhkan sokongan parti komponen dari Borneo.

Difahamkan, Kementerian Ekonomi mungkin diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, memberi kawalan lebih ketat kepada Anwar terhadap dasar ekonomi negara.

Ini menjelaskan mengapa rombakan ini mengambil masa, ia bukan sekadar soal individu, tetapi juga struktur pentadbiran.

Dalam pada itu Anwar dilaporkan telah mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada pagi ini di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Satu sidang media khas berkaitan perkara itu akan diadakan oleh Perdana Menteri pada jam 3.30 petang ini.






Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apa tujuan utama rombakan Kabinet MADANI yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim?
    A: Rombakan Kabinet MADANI dilakukan untuk mengisi kekosongan portfolio penting dan mencerminkan strategi politik yang lebih mendalam menjelang separuh penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
  • Q: Mengapa terdapat kekosongan dalam Kabinet MADANI?
    A: Kekosongan dalam Kabinet MADANI berlaku kerana beberapa menteri seperti Datuk Rafizi Ramli, Datuk Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Datuk Ewon Benedick telah meletakkan jawatan masing-masing.
  • Q: Siapakah calon-calon baru yang mungkin dilantik sebagai menteri penuh dalam rombakan Kabinet MADANI?
    A: Beberapa calon yang disebut termasuk Naib Presiden PKR R Ramanan, Adam Adli, dan Datuk Seri Reezal Merican yang mungkin dilantik sebagai menteri penuh dalam Kabinet MADANI.



#Berita Terkini Rombakan Kabinet Madani #Anwar Ibrahim #Hannah Yeoh #JOHARI ABDUL GHANI