[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

[TERKINI] Rombakan Kabinet, ini profil Menteri Belia dan Sukan baharu, Dr Mohammed Taufiq Johari

Bernama 16/12/2025 | 10:43 MYT
Pelantikan Mohammed Dr Taufiq itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet Kerajaan MADANI. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari, antara wajah baharu politik nasional mewakili generasi muda di Dewan Rakyat, dilantik sebagai menteri penuh dengan menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

Pelantikan Mohammed Dr Taufiq itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet Kerajaan MADANI, bagi mengisi beberapa jawatan yang dikosongkan.

Rombakan Kabinet ini merupakan kali yang kedua di bawah pentadbiran Anwar, selepas rombakan pertama dibuat pada 12 Dis 2023. Kerajaan MADANI dibentuk pada Disember 2022.

Dr Mohammed Taufiq, 29, ialah seorang ahli politik dan doktor perubatan yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani sejak November 2022.

Beliau dilahirkan pada 6 Mac 1996 di Kuala Lumpur dan merupakan anak keenam daripada lapan adik- beradik.

Bapa beliau ialah Tan Sri Johari Abdul, bekas Ahli Parlimen Sungai Petani dari 2008 hingga 2022 dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Berkelulusan Ijazah Doktor Perubatan (MD) dari Universiti Islam Bandung, Indonesia, Dr Mohammed Taufiq pernah berkhidmat dalam latihan perubatan di beberapa hospital di negara itu sebelum melibatkan diri sepenuhnya dalam dunia politik.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau berjaya memperoleh 50,580 undi menewaskan pesaing terdekat dan calon Perikatan Nasional (PN) Dr Robert Ling Kui Ee yang mendapat 49,465 undi.

Dr Mohammed Taufiq merupakan Naib Ketua Angkatan Muda Keadlian (AMK) dan Ketua Cabang Sungai Petani dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah parti komponen dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

-- BERNAMA





#Rombakan Kabinet 2025 #kabinet malaysia 2025 #Dr Mohammed Taufiq Johari #Menteri Belia dan Sukan