[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

[TERKINI] Selangor umum bantuan RM500 kepada keluarga mangsa banjir di PPS

Shafiqa Azami 25/11/2025 | 05:15 MYT
Amirudin memaklumkan bahawa bantuan awal itu akan disalurkan kepada 750 keluarga yang disahkan berdaftar di PPS di daerah terkesan, iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan menyalurkan bantuan tunai RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), susulan bencana yang melanda lima daerah sejak Ahad.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan bahawa bantuan awal itu akan disalurkan kepada 750 keluarga yang disahkan berdaftar di PPS di daerah terkesan, iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.

Setakat jam 11.30 pagi, seramai 2,784 mangsa ditempatkan di 21 PPS di seluruh negeri.

Menurut Amirudin, peningkatan paras air berlaku akibat taburan hujan yang jauh melebihi jangkaan, sekali gus memberi kesan bukan sahaja di Selangor tetapi melibatkan lapan negeri lain di seluruh negara.

Beliau turut memberi perhatian khusus kepada 221 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menjadi mangsa banjir dan kini berada di PPS.

“Bagi memudahkan urusan pergi dan pulang ke pusat peperiksaan masing-masing, Pejabat Daerah akan menyediakan pengangkutan percuma dari PPS ke sekolah,” katanya.

Selain itu, Yayasan MBI akan menyalurkan bantuan segera kepada pelajar yang kehilangan peralatan menulis dan digital akibat banjir bagi memastikan peperiksaan mereka dapat diteruskan tanpa gangguan.

Amirudin turut mengarahkan supaya projek tebatan banjir di kawasan tumpuan dipercepatkan, dengan pemantauan terperinci akan dilakukan petang ini oleh Exco Kemajuan Infrastruktur, Datuk Izham Hashim.

“Di saat mencabar ini, saya mendoakan keselamatan seluruh rakyat negeri Selangor, khususnya mereka yang berada di PPS,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang terus bertungkus-lumus membantu rakyat.

Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa operasi bantuan dan pemindahan mangsa akan diteruskan secara bersepadu sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya.


#banjir #bantuan kewangan #PPS #SPM #shah alam