[TERKINI] Shamsul Iskandar ditahan SPRM bantu siasatan dakwaan rasuah
![[TERKINI] Shamsul Iskandar ditahan SPRM bantu siasatan dakwaan rasuah [TERKINI] Shamsul Iskandar ditahan SPRM bantu siasatan dakwaan rasuah](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-03/51741104926_ShamsulIskandarMoh.jpg)
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, kes tersebut melibatkan kepentingan awam dan siasatan dijalankan segera bagi mengelakkan sebarang manipulasi. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Ketua Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan ahli perniagaan, Albert Tei.
Ringkasan AI
- SPRM menahan bekas Ketua Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bagi membantu siasatan rasuah yang melibatkan ahli perniagaan, Albert Tei.
- Kepentingan awam diutamakan dalam siasatan ini untuk mengelakkan manipulasi, dengan turut ditahan ahli perniagaan Albert Tei dan wanita bernama Sofia Rini Buyong.
- SPRM menegaskan komitmen untuk menjalankan siasatan secara profesional dan adil, serta semua pihak diminta bersabar tanpa membuat spekulasi mengenai kes tersebut.
"Ketiga-tiga individu terbabit iaitu Shamsul Iskandar, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing serta seorang wanita, Sofia Rini Buyong telah ditahan untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya lagi, Sofia Rini ditahan pada 27 November 2025, jam 10.30 malam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Mahkamah Majistret Putrajaya melalui Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin kemudian membenarkan wanita itu direman empat hari hingga 1 Disember 2025.
"Sementara itu, Albert Tei yang pada asalnya dijadualkan hadir memberi keterangan pada 1 Disember, diminta tampil lebih awal namun didakwa enggan berbuat demikian.
"Albert Tei ditahan pada 28 November 2025, jam 10.15 pagi di rumahnya. Beliau adalah individu paling penting bagi membantu siasatan kes ini," katanya.
Tambahnya, SPRM turut menyerahkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert Tei yang memberi kuasa kepada pihak penyiasat untuk menafikan haknya berhubung dengan peguam atau mana-mana pihak lain sepanjang proses tertentu siasatan.
"Dalam perkembangan sama, Shamsul Iskandar ditahan pada jam 12.51 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.
"Permohonan reman terhadap Albert Tei dan Shamsul Iskandar akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi Sabtu," katanya lagi.
Beliau menegaskan SPRM komited memastikan siasatan dijalankan secara profesional dan adil mengikut undang-undang.
"Mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan penahanan ketiga-tiga individu berkenaan mempunyai hak untuk mempertikaikannya di mahkamah.
"Pegawai penyiasat telah diarahkan untuk melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh seminggu sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


