[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

[TERKINI] SPRM siasat tohmahan berkaitan bekas Setiausaha Politik PM

Sinar Harian 26/11/2025 | 05:51 MYT
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, pihaknya akan memanggil mereka yang terlibat bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan segera menjalankan siasatan berhubung tohmahan pemberian rasuah seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.


Ringkasan AI
  • SPRM akan menjalankan siasatan berhubung pemberian rasuah oleh Albert Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan penerimaan surat peletakan jawatan Shamsul, membenarkan SPRM menjalankan siasatan tanpa halangan.
  • Berita mengenai penerimaan wang oleh Shamsul dari Albert Tei serta surat sokongan kepada seorang pembantu Menteri Kesihatan telah menimbulkan desakan untuk siasatan telus oleh SPRM.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, pihaknya akan memanggil mereka yang terlibat bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan.

"Sehubungan itu, orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan tohmahan ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Shamsul dan menegaskan SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera terhadap segala tuduhan.

Peletakan jawatan Shamsul itu dipercayai ada kaitan dengan beberapa pendedahan yang terkait dengannya termasuklah seorang ahli perniagaaan yang dikenali sebagai Albert Tei atau nama sebenarnya, Tei Jiann Cheing.

Dalam laporan sebuah portal berita, Albert mendakwa telah memberi RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.

Selain itu, tular di media sosial mengenai sepucuk surat yang didakwa ditandatangani salah seorang setiausaha politik Perdana Menteri.

Surat bertarikh 6 Mei 2024 itu ditujukan buat pembantu kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memintanya mempertimbangkan enam kontraktor dalam sebuah projek hospital di Muar.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli pada Khamis lalu menamakan Shamsul Iskandar sebagai individu yang menulis surat sokongan itu.

Pada 18 November lepas, Anwar mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa beliau telah menegur setiausaha politiknya.

Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dibuat.

Sehubungan itu beberapa pihak termasuk pembangkang menggesa SPRM menjalankan siasatan segera dan telus berhubung dengan tuduhan berkaitan. -- Sinar Harian




#SPRM #Azam Baki #setiausaha politik #Anwar Ibrahim #Shamsul Iskandar Mohd Akin #terkini