[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

[TERKINI] Tanah runtuh: 104 unit rumah di pangsapuri di Seputeh diarah dikosongkan

Umavathi Ramayah 24/11/2025 | 06:45 MYT
Bomba menerima laporan berhubung insiden itu pada pukul 11.02 pagi sebelum mengerahkan pasukan bersama dua jentera. - Gambar JBPM Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR : Sebanyak 104 unit rumah melibatkan dua blok pangsapuri kos rendah di Jalan Sepadu 6, Taman United, Seputeh, di sini, diarah dikosongkan serta-merta susulan kejadian tanah runtuh di kawasan cerun berhampiran, pagi Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Armdan Mahat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada pukul 11.02 pagi sebelum mengerahkan pasukan bersama dua jentera dengan kekuatan 11 anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, runtuhan tanah cerun dianggarkan sepanjang 60 meter itu menimpa dua buah kereta serta beberapa motosikal, termasuk sebuah kereta yang tertimbus sepenuhnya.

"Hasil perbincangan di lokasi bersama wakil Parlimen Seputeh dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), arahan pengosongan dikeluarkan melibatkan dua blok kediaman serta premis berhampiran berikutan wujud pergerakan tanah aktif selain hujan lebat berterusan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Armdan memberitahu, setakat ini, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terperangkap.

Namun katanya, pihak Bomba masih berada di lokasi bagi memantau keadaan dari semasa ke semasa.








#Balai Bomba dan Penyelamat #hujan lebat #tanah runtuh #diarah kosong