[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

[TERKINI] Tengku Zafrul nafi ada niat bertanding mana-mana PRK

Madiha Abdullah 09/06/2025 | 08:29 MYT
Tengku Zafrul memaklumkan tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai perkara itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan desas-desus beliau akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri.
Dalam satu kenyataan di laman sosial peribadi beliau, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu memaklumkan tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai perkara itu dan tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak.
Jelas Tengku Zafrul, beliau akan terus melaksanakan tugas sebagai seorang Ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan bulan Disember 2025, dan menyerahkan sepenuhnya kedudukannya sebagai menteri kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
[TERKINI] Tengku Zafrul nafi mahu bertanding dalam PRK
"Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat, dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan," katanya.
Dalam masa yang sama, Tengku Zafrul juga menegaskan sekali lagi bahawa keputusannya untuk berundur daripada UMNO adalah pilihan peribadi dan bukan atas sebarang paksaan.
"Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam," tambahnya.
Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO, seluruh akar umbi terutama UMNO Bahagian Kota Raja dan rakan-rakan parti yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh bersama UMNO.
#Tengku Zafrul #pilihan raya kecil #UMNO