MALAYSIA

[TERKINI] TikTok, SPR jalin kerjasama pelihara integriti Pilihan Raya Negeri Sabah

Bernama 13/11/2025 | 08:12 MYT
Menurut kenyataan TikTok, kedua-dua pihak akan bekerjasama melindungi pengguna daripada maklumat yang palsu dan tidak tepat serta menyediakan maklumat sahih dan boleh dipercayai melalui panduan carian dalam aplikasi. -Foto TikTok
KUALA LUMPUR: TikTok hari ini mengumumkan jalinan kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melindungi integriti platformnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.


Ringkasan AI
  • TikTok menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melindungi integriti platformnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
  • Kerjasama ini bertujuan melindungi pengguna daripada maklumat palsu dan tidak tepat serta menyediakan panduan carian dalam aplikasi yang menampilkan sumber rasmi berkaitan proses pilihan raya.
  • TikTok juga mengambil langkah proaktif untuk menurunkan lebih daripada 450,000 video yang melanggar dasar integriti dan ketulenan platform sepanjang tempoh Suku Pertama 2024 hingga Suku Kedua 2025.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Menurut kenyataan TikTok hari ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama melindungi pengguna daripada maklumat yang palsu dan tidak tepat serta menyediakan maklumat sahih dan boleh dipercayai melalui panduan carian dalam aplikasi, yang menampilkan sumber rasmi berkaitan proses pilihan raya.

TikTok juga akan bekerjasama rapat dengan SPR dan penyemak fakta untuk memudahkan pencarian maklumat tepat tentang pengundian dan pilihan raya

"Teknologi penyederhanaan lanjutan dan ribuan profesional keselamatan akan membantu menghubungkan pengguna dengan maklumat berwibawa sambil mengalih keluar kandungan berbahaya daripada platform.

"TikTok juga akan mengaktifkan panduan carian dalam aplikasinya apabila pengguna mencari kandungan berkaitan pilihan raya. Mengklik panduan carian membuka halaman terperinci yang mengingatkan pengguna tentang garis panduan komuniti kami dan mengubah hala mereka ke laman web rasmi SPR," menurut kenyataan itu.

Platform itu juga bekerjasama dengan pakar dan ini sebahagian daripada kerjasama berterusan TikTok dengan kerajaan, organisasi masyarakat sivil, dan pemantau pilihan raya, termasuk badan bukan kerajaan seperti Bersih untuk memastikan dasar pilihan raya TikTok terus berkembang sebagai tindak balas kepada ancaman dan cabaran yang semakin kompleks.

Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia Firdaus Fadzil berkata pilihan raya ialah detik penting yang mencetuskan perbualan aktif dalam kalangan komuniti, serta komited untuk melindungi keselamatan pengguna dan integriti platform sepanjang proses pilhan raya berlangsung.

"Usaha ini dilaksanakan melalui penguatkuasaan dasar yang menyeluruh bagi mengekang penyebaran maklumat yang salah, menyediakan panduan carian dalam aplikasi, melarang iklan dan derma politik, mempromosikan maklumat rasmi daripada sumber yang dipercayai, serta menjalin kerjasama dengan pakar bagi menilai dan menambah baik pendekatan kami," katanya.

Sementara itu, Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata sentiasa komited untuk memberikan maklumat yang tepat, cekap dan telus semasa proses pengundian berlangsung untuk rakyat Malaysia.

"SPR berusaha memastikan tiada unsur yang boleh menimbulkan persepsi negatif, keraguan atau ketidakpercayaan merentas platform media sosial yang dikongsikan.

Bekerjasama dengan TikTok adalah antara langkah penting ke arah memastikan pengundi mempunyai akses kepada maklumat sahih dan tepat pada masanya," katanya.

Ramlan berkata dengan perkongsian ini SPR mengulangi iltizam untuk mempromosikan pendidikan pengundi dan memperkasakan penglibatan serta pemahaman masyarakat untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dengan yakin dan aktif.

Di Malaysia, sepanjang tempoh Suku Pertama 2024 hingga Suku Kedua 2025, platform berkenaan telah menurunkan lebih 450,000 video yang melanggar dasar integriti dan ketulenan TikTok.

Dasar ini merangkumi tindakan terhadap maklumat salah, penglibatan palsu, serta pelanggaran terhadap integriti sivik dan pilihan raya, dengan lebih daripada 99 peratus kandungan berkenaan diturunkan secara proaktif.

Selain itu, TikTok tidak membenarkan iklan politik dan melarang akaun milik ahli politik, kerajaan atau parti politik daripada menjana aktiviti terkait keuntungan kewangan.

Calon, parti politik dan mana-mana pengiklan lain tetap dilarang daripada mempromosikan kandungan berkaitan pilihan raya melalui iklan.

"Satu-satunya pengecualian adalah untuk entiti rasmi yang mengawasi pilihan raya menyiarkan iklan terhad kepada maklumat penting pengundi seperti cara mengundi, pendaftaran pengundi atau butiran penyertaan.

"Pengguna digalakkan untuk melaporkan maklumat yang mengelirukan melalui pelaporan dalam aplikasi TikTok bagi membolehkan tindakan pantas terhadap kandungan yang melanggar dasar platform," menurut TikTok.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tujuan utama jalinan kerjasama antara TikTok dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)?
    A: Tujuan utama jalinan kerjasama adalah untuk melindungi integriti platform TikTok menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan menyediakan maklumat sahih berkaitan proses pilihan raya dan membanteras maklumat palsu.
  • Q: Apa yang akan dilakukan oleh TikTok dan SPR untuk melindungi pengguna dari maklumat yang palsu?
    A: TikTok dan SPR akan bekerjasama rapat untuk menyediakan panduan carian dalam aplikasi TikTok yang menunjukkan sumber rasmi berkaitan proses pilihan raya serta memudahkan pencarian maklumat tepat tentang pengundian dan pilihan raya.
  • Q: Apakah tindakan yang telah diambil oleh TikTok dalam menangani kandungan yang melanggar dasar integriti dan ketulenan platform?
    A: TikTok telah menurunkan lebih daripada 450,000 video yang melanggar dasar integriti dan ketulenan TikTok sepanjang tempoh Suku Pertama 2024 hingga Suku Kedua 2025, dengan lebih daripada 99 peratus kandungan berkenaan diturunkan secara proaktif.
  • Q: Apakah larangan yang dikenakan oleh TikTok berkaitan dengan iklan politik?
    A: TikTok tidak membenarkan iklan politik dan melarang akaun milik ahli politik, kerajaan, atau parti politik daripada menjana aktiviti terkait keuntungan kewangan. Calon, parti politik, dan pengiklan lain juga dilarang mempromosikan kandungan berkaitan pilihan raya melalui iklan.
  • Q: Apa yang boleh dilakukan oleh pengguna TikTok sekiranya mereka menjumpai maklumat yang mengelirukan berkaitan pilihan raya?
    A: Pengguna digalakkan untuk melaporkan maklumat yang mengelirukan melalui pelaporan dalam aplikasi TikTok bagi membolehkan tindakan pantas terhadap kandungan yang melanggar dasar platform.


#TikTok #PRN Sabah #Suruhanjaya Pilihan Raya #jalin kerjasama