[TERKINI] Najib Razak kekal di Penjara Kajang
MALAYSIA

[TERKINI] Titah Adendum: Najib kecewa keputusan mahkamah - Peguam

Faida Rahim 22/12/2025 | 04:35 MYT
Najib akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuan beliau untuk menjalani tahanan rumah. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak semakan kehakiman difailkan bagi memaksa Kerajaan dan enam yang lain melaksanakan Titah Adendum.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara demikian dalam sidang media sebentar tadi.

"Sudah tentu dia kecewa, kenapa dia kecewa kerana keputusan Titah Adendum pada 29 Januari 2024, hampir memasuki tempoh dua tahun.

"Ini perintah Yang di-Pertuan Agong, tetapi tertangguh untuk tempoh hampir dua tahun," katanya.

Dalam pada itu, Najib akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuan beliau untuk menjalani tahanan rumah.

"Kita akan buat rayuan," kata Shafee.

Dalam pada itu, Shafee terkejut dengan keputusan mahkamah tinggi hari ini dan menyifatkan banyak fakta-fakta yang disifatkan sebagai 'tidak kagum'.

"Terkejut dengan keputusan yang dibuat. Fakta-fakta yang tidak begitu kagum dengan sebab-sebab yang diberikan oleh hakim mahkamah tinggi," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib untuk melaksanakan Titah Adendum supaya menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.







#Najib Razak #Titah Adendum #Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur #penjara