Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Tun Dr Siti Hasmah banyak berbicara soal akhirat sebelum pemergiannya - Zahid

 Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi -- AWANI
Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. -Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali banyak berbicara mengenai ketuhanan dan kehidupan selepas mati ketika menerima kunjungan isterinya di kediaman keluarga kira-kira seminggu lalu.

Beliau berkata pertemuan antara isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan Allahyarham berlangsung pada Isnin minggu lalu, dengan kedua-duanya mengimbau pelbagai kenangan sepanjang penglibatan dalam Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI).

“Secara kebetulan, isteri saya mengunjungi Allahyarham Tun Hasmah pada Isnin minggu lalu. Mereka berbincang panjang dan bernostalgia sebagai anggota BAKTI.

“Daripada apa yang diceritakan oleh isteri saya, Allahyarham banyak berbicara tentang Tuhan, alam barzakh dan Padang Mahsyar, seolah-olah beliau mengetahui akan pergi buat selama-lamanya,” katanya kepada pemberita.

Menurut Ahmad Zahid, pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai keluarga terdekat, malah turut memberi kesan besar kepada seluruh negara.

“Kami sekeluarga turut merasai kehilangan Allahyarham Tun Dr Hasmah dan berdoa agar keluarga beliau terus tabah menghadapi saat yang sukar ini.

“Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman,” katanya.

Beliau berkata negara kehilangan seorang tokoh wanita yang banyak berjasa sepanjang lebih dua dekad menjadi isteri Perdana Menteri serta aktif dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan pembangunan masyarakat.

“Kehilangan ini sangat besar kerana Allahyarham menjadi wanita pertama negara selama 22 tahun dan telah banyak menabur jasa, khususnya kepada golongan wanita serta ahli-ahli BAKTI,” katanya.

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi Isnin.

Beliau dikenang sebagai tokoh wanita yang banyak menyumbang dalam bidang perubatan, kebajikan dan pembangunan sosial negara.

Must Watch Video

Advertisement