Skip to main content
Advertisement

Malaysia

[TERKINI] Tun Dr Siti Hasmah, seabad kehidupan dalam khidmat masyarakat dan negara

Sumber: Astro AWANI
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada kira-kira 9.20 pagi, dengan berita pemergian disahkan anaknya Tan Sri Mokhzani Mahathir. -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Negara kehilangan tokoh wanita yang merentasi hampir seabad sejarah Malaysia apabila Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggal dunia Isnin pada usia 100 tahun. 

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada kira-kira jam 9.20 pagi dengan berita pemergian itu disahkan anaknya Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Dr Siti Hasmah merupakan anak keenam daripada 10 beradik kepada Haji Mohd Ali dan Hajah Siti Khatijah Ahmad.

Beliau mendapat pendidikan awal di Methodist Girls’ School sebelum meneruskan persekolahan di St Mary’s School dan Pudu English School di Kuala Lumpur.

Selepas Perang Dunia Kedua, Dr Siti Hasmah memperoleh biasiswa untuk mengikuti pengajian di King Edward VII College of Medicine di Singapura dan merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Di institusi itu juga beliau bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengikuti pengajian perubatan pada tahun sama, sebelum hubungan mereka berkembang dan membawa kepada perkahwinan pada 1956.

Pasangan itu membesarkan tujuh anak, terdiri daripada empat anak kandung dan tiga anak angkat iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Mazhar dan Maizura.

Dr Siti Hasmah menamatkan pengajian sebagai doktor perubatan pada 1955 sebelum menjalani latihan siswazah di Hospital Besar Kuala Lumpur dan kemudian menyertai perkhidmatan kesihatan kerajaan. 

Selepas berkahwin, Dr Siti Hasmah berpindah ke Alor Setar bersama suaminya dan meneruskan kerjaya dalam perkhidmatan kesihatan kerajaan.

Kerjayanya mencatat sejarah pada 1965 apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak di Kedah.

Pada 1974, beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak Negeri Kedah.

Sepanjang kerjayanya, kesihatan ibu dan kanak-kanak menjadi antara perjuangan utama, dengan kadar kematian bayi di Kedah dilaporkan menurun daripada 75 kepada tujuh bagi setiap 1,000 kelahiran ketika tempoh perkhidmatannya. 

Selepas Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 1981, Dr Siti Hasmah terus memainkan peranan dalam pelbagai pertubuhan kesihatan, kebajikan, pendidikan dan pembangunan keluarga.

Beliau turut aktif dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah dan pada 1985 menghadiri Persidangan Wanita Pertama Mengenai Penyalahgunaan Dadah di Washington atas jemputan Nancy Reagan, iaitu isteri kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan.

Dua tahun kemudian, Dr Siti Hasmah mewakili Malaysia pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram di Vienna.

Pada 1995, beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Dunia Keempat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Wanita di Beijing dan berucap mengenai kesaksamaan, pembangunan serta keamanan.

Di mata rakyat Malaysia juga, Dr Siti Hasmah cukup sinonim sebagai figura yang sering berada di sisi suaminya sepanjang perjalanan panjang politik Dr Mahathir.

Beliau sering dilihat menemani suaminya dalam pelbagai acara rasmi, program masyarakat dan lawatan, selain memberikan sokongan sepanjang kerjaya politik Dr Mahathir.

Dr Mahathir pula pernah mengakui Dr Siti Hasmah sentiasa menemaninya meskipun tidak terlibat secara langsung dalam politik.

Sepanjang perkahwinan mereka, Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali dalam dua tempoh berasingan. Penggal pertamanya sebagai Perdana Menteri keempat berlangsung dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003, iaitu selama lebih 22 tahun.

Dr Mahathir kembali menerajui negara sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei 2018 sebelum meletak jawatan pada 24 Februari 2020.

 

Must Watch Video

Advertisement