MALAYSIA

[TERKNI] Kementerian Luar percepat usaha pencarian Nadia Kesuma

Astro Awani 17/01/2026 | 08:30 MYT
Nadia Kesuma gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mempercepatkan usaha pencarian pelakon Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, atau Nadia Kesuma yang dilaporkan hilang di Jeddah, Arab Saudi sejak 15 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah turut memberitahu, melaksanakan tindakan penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan dan pihak berkaitan.

“Sehingga hari ini Konsulat Jeneral terus berurusan dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi menyegerakan usaha pencarian.

"Selain memberikan bantuan konsular kepada waris, serta sentiasa berhubung rapat dengan pihak-pihak yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata kenyataan itu, semalam Konsulat Jeneral telah memudah cara agensi pelancongan Malaysia yang berkaitan serta rakan kongsi tempatan mereka di Jeddah untuk membuat laporan polis rasmi selaras dengan keperluan peraturan di Arab Saudi.

Tambahnya antara usaha dilaksanakan termasuk menggerakkan pegawainya ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz bagi menjalankan usaha pencarian berdasarkan lokasi terakhir individu tersebut.

Pada masa sama kementerian turut menegaskan bahawa butiran terperinci dan perkembangan berkaitan kes ini hanya akan dikongsi kepada ahli keluarga terdekat demi menghormati privasi pihak-pihak yang terlibat.

“Prinsip tidak mendedahkan maklumat kepada pihak yang tidak berkaitan ini bertujuan bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar demi mencapai keputusan yang terbaik serta mengelakkan sebarang kekhilafan fakta berkaitan pihak-pihak yang terlibat,” katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan kehilangan Nadia Kesuma yang menimbulkan tanda tanya apabila gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, Arab Saudi.

Beliau dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk menunaikan umrah dan ziarah yang turut melibatkan destinasi termasuk London dan Paris, anjuran sebuah agensi pelancongan tempatan.


#Kementerian Luar #Arab Saudi #Nadia Kesuma #Malaysia