Masih terlalu awal bagi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk membuat kesimpulan mengenai pengurusan Syarikat 1Malaysia Development Board (1MDB).

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya memerlukan masa yang lebih lama untuk melaksanakan siasatan menyeluruh berkenaan isu ini.

"Hari ini baru prosiding pertama mengenai perkara ini bermula.

"Ia dihadiri semua ahli jawatankuasa PAC serta wakil dari Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Audit Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Akauntan Negara," kata Nur Jazlan dalam satu sidang media di pekarangan Parlimen petang tadi.

Tambah beliau, prosiding hari ini tertumpu kepada kawalan kerajaan terhadap pengurusan dan pelaburan syarikat 1MDB sejak ditubuhkan pada 2009.

"Setakat ini, kami menerima kerjasama penuh daripada pihak yang terlibat pada hari ini," kata Nur Jazlan.

Selepas ini, katanya, PAC akan memanggil pimpinan pengurusan tertinggi 1MDB serta sesiapa yang pernah terlibat dengan syarikat ini untuk menjalankan siasatan.

"Siasatan akan diteruskan selepas itu dengan Lembaga Pengarah dan seterusnya, firma audit yang terlibat dalam mengesahkan kedudukan kewangan syarikat.

"Oleh itu, saya meminta agar tiada pihak yang mendahului PAC dalam membuat sebarang kesimpulan mengenai perkara ini," tegas Nur Jazlan.

Beliau turut menyatakan bahawa prosiding ini tidak mempunyai jangka masa yang tetap dan akan diteruskan sehingga segalanya tentang urusan syarikat 1MDB disiasat.

"PAC mahu melihat pengurusan kawal tadbir urus syarikat sejak ia ditubuhkan," jelas Nur Jazlan.

PAC telah sebulat suara bersetuju pada 30 April lalu untuk memulakan prosiding ke atas Syarikat 1MDB.

Keputusan ini diambil memandangkan spekulasi dan tohmahan yang perlu disahihkan demi kepentingan rakyat.