KUALA LUMPUR: Setiap negara perlu menilai realiti kesediaan masing-masing dalam mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pengarah Urusan World Economic Forum (WEF) dan Ketua Centre for the Fourth Industrial Revolution WEF, Jeremy Jurgens berkata, tidak wajar untuk menolak adaptasi AI sepenuhnya kerana bimbang kepada risiko yang mungkin ada.

Jelasnya tindakan itu hanya akan mensia-siakan manfaat yang turut dimiliki teknologi tersebut.

“Isu tempatan di Rwanda, India dan Amerika Syarikat mungkin berbeza dengan realiti di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Setiap negara perlu menilai situasi unik tersendiri, kemudian adaptasi model tadbir urus masing-masing.

“Saya fikir kita perlu berikan tumpuan kepada peluang, seperti kita memberi tumpuan kepada risiko. Kita tidak mahu mengabaikan mana-mana bahagian.

“Kita tidak mahu menyatakan tidak kepada AI kerana risiko yang ada, memandangkan itu juga bermaksud kita akan terlepas segala kebaikan yang ia bawa bersama,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Bagi mendepani cabaran dan risiko yang timbul daripada teknologi AI ini, Jurgens berkata, WEF telah menggariskan 30 prinsip yang menjadi garis panduan untuk adaptasi teknologi tersebut agar ia tidak disalah guna.

Beliau juga menjelaskan, kebimbangan yang dibangkitkan banyak pihak mengenai AI merupakan isu yang sudah wujud dalam masyarakat namun perlu dioleh semula agar sesuai kepada keperluan dan kefahaman semasa.

”Pada masa sama, mengakui bahawa kebanyakan cabaran sudah wujud sebelum ini.

"Antaranya berkaitan keselamatan siber, keselamatan digital untuk kanak-kanak dan komuniti rentan. Cabaran ini sudah wujud sebelum ini, tetapi ia semakin membimbangkan akibat AI,” jelasnya.

Agenda AWANI:Smart Technology | The Future of Artificial Intelligence