IPOH: Perak menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani masalah haiwan ternakan terbiar sehingga menyebabkan kemalangan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, penubuhan jawatankuasa itu diputuskan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini.

Menurutnya, mesyuarat pertama jawatankuasa akan diadakan pada Isnin hadapan yang antara lain untuk menentukan siapa yang akan mempengerusikan jawatankuasa.

“Kita akan putuskan sama ada Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Razman Zakaria atau saya akan jadi pengerusi atau mungkin pengerusi bersama,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke Concubine Lane, di sini, hari ini.

Nolee Ashilin berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian, pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah.

Menurutnya, isu ternakan terbiar seolah-olah tiada yang berkesudahan sejak dulu lagi walaupun pelbagai cara dan pendekatan sudah diambil kerajaan negeri.

Katanya, antara pendekatan yang digunakan termasuk dari segi penguatkuasaan dan perbincangan bersama pemilik haiwan ternakan bersama agensi-agensi berkenaan.

Beliau memberi contoh, di bawah Majlis Bandaraya Ipoh, tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 Undang-Undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau (Majlis Bandaraya Ipoh) 2014.

“Melalui Undang-Undang Kecil ini kita boleh menangkap, memberi kompaun. Kita memang boleh mengambil tindakan tetapi malangnya selalu apabila kejadian (kemalangan) berlaku kita tidak tahu siapa pemiliknya," ujarnya.

Tambahnya, jawatankuasa khas itu juga akan mencari jalan untuk mengatasi permasalahan utama dalam mengenal pasti pemilik sebenar haiwan ternakan yang berkeliaran.

“Ia perlu agar pemilik berkenaan dapat memainkan peranan sebenar dan bertanggungjawab terhadap ternakan mereka,” katanya.

Pada Rabu, seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas setelah melanggar seekor kerbau di Jalan Perindustrian Pengkalan 2 di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, Lee Chiew Li, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.