GEORGE TOWN: Keputusan untuk meneruskan projek terowong dasar laut Pulau Pinang hanya akan dimuktamadkan selepas Kerajaan Pulau Pinang mendapatkan ulasan bertulis daripada pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, meskipun secara teknikalnya hasil yang diperoleh daripada kajian kebolehlaksanaan menunjukkan bahawa projek itu boleh diteruskan, namun, ia masih tertakluk kepada pematuhan pelbagai syarat teknikal.

Menurut Kon Yeow, syarikat konsesi Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) telah membentangkan hasil laporan kebolehlaksanaan projek itu kepada Exco Kerajaan Negeri pada Februari lepas.

“Penemuan kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan kepada Exco pada bulan Februari, Exco sudah mengambil maklum tentang penemuan berkenaan yang sebenarnya penemuan adalah projek ini  boleh dilaksanakan tertakluk kepada pematuhan pelbagai syarat teknikal.

“Mesyuarat Exco juga telah mengarahkan Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari dan Penang Infrastructure Corporation untuk mendapatkan ulasan bertulis daripada dua agensi penting iaitu SPPP dan PPSB, memandangkan terowong akan dibina walaupun di bawah dasar laut melintasi selat yang melibatkan pergerakan kapal-kapal di Selat Pulau Pinang ini.

“Walaupun kajian kebolehlaksanaan itu secara teknikal boleh dilaksanakan ,namun keputusan mengenainya kita akan buat setelah ulasan bertulis berkenaan diperolehi kelak,” katanya kepada wartawan di sini, pada Jumaat.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu adalah di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

PIP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Sebelum ini, dilaporkan syarikat konsesi, CZC, telah menyelesaikan kajian kebolehlaksanaan pada penghujung 2020 selepas ditangguhkan selama empat tahun dan menyerahkannya kepada kerajaan negeri pada Disember tahun sama.

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut itu bermula pada Disember 2014 dan sepatutnya siap pada 2016 tetapi tertangguh atas pelbagai faktor.