Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
MALAYSIA

Terowong Menora ke Kuala Kangsar sesak 7 km akibat kemalangan

Bernama 15/10/2025 | 05:30 MYT
Kemalangan lori kontena di KM256 arah utara Lebuhraya PLUS menyebabkan semua lorong terhalang dan trafik sesak lebih tujuh kilometer. -Foto X
IPOH: Kemalangan membabitkan sebuah lori kontena di Kilometer (KM) 256 arah utara Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar, menyebabkan aliran trafik sesak sejauh lebih tujuh kilometer, hari ini.


Ringkasan AI
  • Kemalangan lori kontena di KM256 arah utara Lebuhraya PLUS menyebabkan semua lorong terhalang dan trafik sesak lebih tujuh kilometer.
  • Laluan kontra diaktifkan antara KM255.8 hingga KM257.3 arah selatan, manakala lorong kanan arah selatan turut ditutup untuk kerja pengalihan.
  • PLUS menasihatkan pengguna agar ikut arahan pengawal trafik dan guna laluan alternatif untuk elak kesesakan.


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi hantaran di akaun X rasmi @plustrafik memaklumkan kemalangan yang berlaku pada 7.56 pagi itu menghalang semua lorong arah utara, sekali gus menyebabkan kesesakan trafik.

"Kerja-kerja pengalihan lori kontena sedang dijalankan di KM256.8 arah utara antara laluan Terowong Menora dan Kuala Kangsar.

"Semua lorong masih terhalang, laluan kontra diaktifkan dari KM255.8 hingga KM257.3 arah selatan, manakala pusingan U serta mandatori exit telah dinyahaktifkan," menurut hantaran itu setakat 11.30 pagi.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

PLUS turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mematuhi arahan pengawal trafik serta papan tanda di lokasi, selain mempertimbangkan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata siasatan awal mendapati lori kontena berkenaan membawa muatan barangan pembuatan getah tayar dari arah selatan menghala ke utara.

"Setibanya di lokasi kejadian, lori yang dipandu di lorong paling kanan hilang kawalan, terbalik dan melintang di seluruh laluan arah utara.

"Akibat kemalangan itu, pemandu lori mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun oleh ambulans untuk rawatan lanjut, manakala laluan di PLUS mengalami kesesakan sejauh lapan kilometer," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat Unit Lebuhraya Zon Utara, Sektor 3, Sarjan Mohd Razlan Md Nor di talian 010-7176141.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

Selain itu, PLUS melalui akaun X rasmi @plustrafik memaklumkan semua lorong telah dibuka, namun trafik masih perlahan setakat 2.50 petang tadi.

-- BERNAMA



#PLUS #Terowong Menora #Kuala Kangsar #lorong terhalang dan trafik sesak