NATIONAL
'Terpaksa cari kerja sampingan tampung pendapatan'

Faizah berkata, dia dan suami terpaksa berniaga pakaian secara kecil-kecilan pada hari cuti untuk menambah pendapatan. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Seorang penjawat awam, Faizah Mustafa, 37, memberitahu biarpun dia dan suaminya bekerja sebagai penjawat awam namun pendapatan mereka masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan keluarga.
Ringkasan AI
- Faizah Mustafa, seorang penjawat awam, dan suaminya yang juga penjawat awam, mendapati pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarga mereka yang terdiri daripada lima anak. Mereka terpaksa berniaga pakaian secara kecil-kecilan pada hari cuti untuk menambah pendapatan.
- Perbelanjaan bulanan mereka termasuk bayaran pengasuh, ansuran rumah dan kereta, yuran pengangkutan anak ke sekolah, tuisyen, mengaji, susu, dan lampin pakai buang, yang hampir mencecah RM3,000. Kos ulang-alik ke tempat kerja juga tinggi kerana jarak perjalanan yang jauh.
- Faizah bersetuju bahawa elaun sara hidup perlu diberikan sama rata antara kawasan bandar dan luar bandar kerana kos hidup di luar bandar adalah sama seperti di bandar. Mereka mengamalkan sikap berjimat cermat dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar dan harga barangan yang meningkat.
“Pendapatan yang ada tidak mencukupi, kami terpaksa berniaga pakaian secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan... kami berniaga seminggu sekali pada hari cuti.
"Kalau fikirkan memang letih kerana hari cuti untuk berehat, tetapi apabila memikirkan keperluan anak-anak, nak bawa mereka jalan-jalan, kena cari duit sampingan dan sedikit sebanyak bantu suami," katanya yang tinggal di Pendang.
Faizah bersetuju sekiranya elaun sara hidup diberikan sama rata antara kawasan bandar dan luar bandar.
"Saya tinggal di Pendang (luar bandar) tetapi bekerja di Alor Setar (bandar) mengambil masa kira-kira 30 minit.
“Jarak perjalanan suami ke tempat kerja iaitu daerah berlainan walaupun kedua-dua berada dalam kawasan luar bandar, mengambil masa kira-kira 45 minit dan agak jauh, kalau ikutkan kos ulang alik juga tinggi," katanya.
Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim, dilapor berkata Malaysia kini berada di ambang kemunduran ekonomi sekiranya tiada reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap sistem pendidikan dan struktur pekerjaan negara.
Katanya, realiti pendapatan gaji sebenar di Malaysia pada hari ini merosot sebanyak tiga kali ganda berbanding empat dekad lalu.
Menurut beliau, gaji graduan pada masa kini tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, pendapatan yang diterima jauh lebih rendah daripada apa yang sepatutnya mereka peroleh sekiranya kadar inflasi diambil kira.
*Laporan ini hasil kolaborasi Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.
*Laporan ini hasil kolaborasi Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami