Skip to main content

Malaysia

Terperdaya 'love scam', wanita kerugian RM112,500

61751336054_scam.jpg
Mangsa berkenalan dengan suspek menerusi platform media sosial itu sebelum menjalinkan hubungan romantik secara dalam talian. - Gambar hiasan
Advertisement

LABUAN: Seorang wanita kerugian RM112,500 selepas terperdaya dengan penipuan cinta atau love scam melibatkan seorang lelaki yang dikenalinya menerusi aplikasi TikTok dan mendakwa dirinya juruterbang dari Amerika Syarikat.

Ketua Polis Labuan Superintenden Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata mangsa berkenalan dengan suspek menerusi platform media sosial itu sebelum menjalinkan hubungan romantik secara dalam talian.

Beliau berkata suspek kemudian memaklumkan akan menghantar satu bungkusan kepada mangsa yang didakwa mengandungi wang tunai berjumlah AS$447,000.

“Pada 25 Ogos, mangsa dihubungi seorang individu yang mendakwa pengurus sebuah syarikat penghantaran dan memberitahu bungkusan berkenaan ditahan di sempadan Singapura-Malaysia.

“Mangsa kemudian diarahkan membuat beberapa bayaran bagi tujuan pelepasan bungkusan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Wan Mohd Firdaus berkata mangsa yang mempercayai dakwaan itu membuat beberapa transaksi ke akaun bank yang diberikan suspek, menyebabkan kerugian keseluruhan RM112,500.

“Selepas membuat bayaran itu, mangsa mendapati suspek menyekat nombor telefonnya dan tidak dapat dihubungi.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Wan Mohd Firdaus menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan kenalan media sosial serta berhati-hati terhadap hubungan percintaan dalam talian.

“Jangan mudah percaya dengan permintaan wang atau bayaran atas pelbagai alasan. Semak terlebih dahulu sebelum sebarang pembayaran dibuat,” katanya.

-- BERNAMA  

Must Watch Video

Advertisement