KOTA BHARU: Tersalah tekan pedal minyak dipercayai menjadi punca seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut dirempuh sebuah kereta di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 2.15 petang.
Advertisement
Beliau berkata kejadian turut menyebabkan seorang lagi pelajar cedera parah pada badan dan kini dirawat di zon merah Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 1.50 tengah hari apabila pemandu wanita terbabit dipercayai tertekan pedal minyak lalu terbabas sehingga melanggar dua pelajar yang sedang memakai kasut sekolah di hadapan surau itu serta tiang batu surau terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmir berkata pelajar yang meninggal dunia itu mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia untuk bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
-- BERNAMA