IPOH: Kejadian tular kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh sebuah premis di sebuah pasar raya besar di Meru Raya di sini, dipercayai berpunca daripada pemandunya yang tertekan pedal minyak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku pada jam 10.35 pagi tadi.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika pemandu iaitu seorang lelaki berusia 43 tahun sedang meletakkan kenderaan di lot parkir berhadapan premis tersebut.

"Semasa pemandu lelaki itu meletak kereta di lot parkir, tiba-tiba dia tertekan pedal minyak dan meluncur melanggar motosikal jenis Honda yang diparkir di hadapannya.

"Seterusnya pemandu itu terlanggar premis perniagaan di situ.

"Punca kemalangan adalah disebabkan pemandu kereta itu gagal mengawal kenderaan dan tertekan pedal sehingga merempuh motosikal dan premis," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun katanya, kemalangan itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

"Seorang wanita berusia 31 tahun yang merupakan pemilik motosikal tidak mengalami kecederaan, sama juga dengan seorang wanita berusia 25 tahun selaku penyelia premis," katanya.

Mohd Yusri berkata, susulan kejadian itu turut mengakibatkan kerosakan teruk pada mesin, peralatan dan kabinet di premis tersebut.

Beliau berkata siasatan lanjut berhubung kes itu masih diteruskan, dan kes diklasifikasikan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).