MALAYSIA

Terus berbakti walau selepas kematian: Tubuh 'dihadiahkan', demi generasi doktor masa depan

Umavathi Ramayah 01/01/2026 | 00:45 MYT
Ketika ini, sebanyak 15 jasad atau lebih dikenali sebagai mentor ditempatkan di Universiti Malaya di bawah Program Silent Mentor. - Gambar Noor Fahmey Md Azhar
KUALA LUMPUR: "Saya harap setiap sentuhan dan setiap pembelajaran daripada tubuh saya ini mampu melahirkan doktor yang bukan sahaja berkemahiran, tetapi berintegriti dan tidak melupakan nilai kemanusiaan."

Itulah antara harapan dan pesanan salah seorang penderma Program Silent Mentor, individu yang memilih untuk terus berbakti kepada dunia perubatan walaupun selepas kematian.

Insan-insan ini tidak pernah berdiri di hadapan kelas, tidak pernah menyebut sepatah kata apatah lagi menegur kesilapan.

Namun selepas hayat berakhir, jasad mereka menjadi sumber pembelajaran paling jujur dalam pendidikan perubatan di Malaysia.

Keputusan untuk menderma jasad bukan sesuatu yang mudah, khususnya bagi ahli keluarga yang terpaksa melepaskan tubuh insan tersayang.

Namun pengorbanan itu dilakukan atas keikhlasan agar ilmu yang ditinggalkan terus hidup dalam tangan mereka yang bakal menyelamatkan nyawa.

Program Silent Mentor merupakan satu inisiatif pendidikan perubatan di bawah Universiti Malaya (UM), yang membolehkan pelajar dan pengamal perubatan mempelajari anatomi serta teknik pembedahan sebenar melalui jasad manusia, sekali gus membentuk kefahaman klinikal yang tidak dapat diperoleh sepenuhnya daripada buku teks atau simulasi.

Timbalan Pengarah program iu, Dr Sakina Ghauth berkata, pendermaan jasad melalui Program Silent Mentor itu amat dihargai kerana ia membolehkan pelajar memahami anatomi manusia secara lebih mendalam dan realistik.

"Melalui pendermaan inilah kami dapat mengajar pelajar dengan lebih berkesan, sekali gus meningkatkan tahap kefahaman mereka terhadap anatomi manusia," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Selasa lalu.

Menurut Sakina, pembelajaran menggunakan jasad sebenar turut membolehkan pelajar melihat variasi struktur organ manusia yang tidak dapat digambarkan sepenuhnya dalam buku teks, selain memahami fungsi anggota badan melalui pengalaman klinikal secara langsung.












"Apabila pelajar melihat dan menyentuh sendiri organ seperti kelenjar tiroid atau struktur tangan, mereka bukan sahaja mempelajari bentuk, tetapi memahami fungsi sebenar.

"Ini sesuatu yang tidak dapat diperoleh melalui simulasi atau model plastik," ujarnya.

Beliau memberitahu, ketika ini, sebanyak 15 jasad atau lebih dikenali sebagai mentor ditempatkan di Universiti Malaya di bawah Program Silent Mentor.

Program itu diadakan sekurang-kurangnya tiga kali tahun, dengan tiga jasad digunakan bagi setiap sesi latihan klinikal.

Sejak diperkenalkan pada 2012, sebanyak 188 jasad digunakan dalam program tersebut.

Daripada jumlah itu, 74 peratus penderma beragama Buddha, diikuti Kristian (36 peratus), Katolik (3.2 peratus), Hindu dan Taoisme masing-masing 1.6 peratus, manakala lain-lain agama mencatatkan 3.7 peratus.

Sebagai tanda penghargaan, pada 2019, Fakulti Perubatan Universiti Malaya menamakan laluan yang menghubungkan fakulti tersebut dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebagai Silent Mentor Corridor.

Nama 100 penderma terawal dipaparkan di laluan itu, mengabadikan jasa mereka yang memilih untuk terus berbakti walaupun selepas pemergian.

Setiap pelajar dan doktor yang terlibat dalam Program Silent Mentor turut didedahkan kepada latar belakang kehidupan mentor masing-masing menerusi 'home visit'.

Pendekatan itu bertujuan menyemai rasa hormat, empati dan tanggungjawab, agar latihan perubatan bukan sekadar membentuk kepakaran, tetapi juga insan yang berperikemanusiaan.

Dari segi pengurusan, pihak SMC menguruskan pemindahan jasad penderma ke pusat berkenaan dalam tempoh lapan jam selepas kematian, dengan kos ditanggung sepenuhnya SMC.

Perkhidmatan ini meliputi kawasan Semenanjung Malaysia, kecuali Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak disebabkan faktor logistik dan jarak.

Sakina menjelaskan, jasad perlu dibersihkan dan disimpan dalam kemudahan khas pada suhu sekitar -25 darjah Celsius dalam tempoh lapan jam bagi mengelakkan jasad itu 'rosak'.

Menurutnya, jasad tersebut boleh disimpan sehingga satu tahun sebelum digunakan dalam program simulasi pembedahan.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai Program Silent Mentor, borang ikrar boleh dimuat turun daripada laman web rasmi.

Borang tersebut perlu dilengkapkan penderma, bersama dua orang pemegang amanah dan seorang saksi daripada ahli keluarga terdekat.

Borang lengkap berserta salinan kad pengenalan penderma perlu dihantar ke SMC melalui perkhidmatan kurier.

Dalam keadaan tertentu, pihak SMC juga bersedia mengadakan pertemuan bersama ahli keluarga bagi menerangkan dengan lebih terperinci mengenai program pendermaan jasad.

Kehadiran ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa, pasangan dan anak-anak amat digalakkan agar keputusan yang dibuat difahami dan dipersetujui bersama.

Borang ikrar hanya akan dimuktamadkan apabila semua ahli keluarga terdekat bersetuju dengan hasrat penderma.





#silent mentor #universiti malaya #pendermaan jasad #pendidikan perubatan