Kerajaan perlu meneruskan legasi perbelanjaan berhemah dan prinsip ‘Rakyat Diutamakan’ sepertimana yang diamalkan oleh mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ketika pemerintahannya dahulu.

Mengulas berkenaan artikel tulisan anak bongsu kepada Allahyarham, Datuk Seri Mohd Nazir Tun Abdul Razak di media pada hari ini, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna (FOMCA) Malaysia, Datuk Paul Selvaraj berpendapat rakyat juga ingin melihat kerajaan mengurus baik perbelanjaan negara dengan mempraktikkan amalan berjimat cermat.

“Apabila rakyat menghadapi tekanan akibat kenaikkan harga barangan disebabkan oleh rasionalisasi subsidi, cukai GST dan sebagainya, mereka juga mahu melihat kerajaan mengambil juga pendekatan berjimat cermat terutama dalam hal penganjuran program-program mewah yang membazir,” kata Paul ketika dihubungi Astro AWANI.

Selain itu, ketirisan dalam perbelanjaan dan amalan rasuah perlu dihapuskan sama sekali.

“Jika rakyat terpaksa menanggung beban kos sara hidup yang tinggi dengan kenaikkan harga barangan seperti petrol dan juga penghapusan subsidi seperti subsidi gula, maka kerajaan perlulah mengambil tindakan yang sama dalam penjimatan belanja pentadbiran mereka,” katanya lagi.

Tambah Paul lagi, jika kerajaan gagal berbuat demikian, maka rakyat akan menjadi kecewa dengan apa jua langkah-langkah yang dibuat oleh kerajaan kerana tidak menunjukkan suatu sikap yang cekap, bersih dan berintegriti.

“Perlaksanaan projek-projek yang dijalankan juga perlulah mengambil kira faedahnya dan kepentingannya kepada rakyat seperti pengangkutan awam, pemdidikan dan juga perkhidmatan kesihatan,” .

Masih lagi terdapat masalah-masalah seperti rakyat terpaksa menunggu giliran yang agak lama ketika mendapat rawatan di klinik dan hospital kerajaan. Oleh hal demikian, kerajaan perlulah membuat pembaikan dalam sistem perkhidmatan demi kepuasan dan kesenangan rakyat.

Mohd Nazir menulis artikel cetusan rasanya itu bersempena dengan 38 tahun pemergian ayahandanya pada tanggal 14 Januari 1976 di London akibat komplikasi leukemia.