SHAH ALAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disarankan untuk membuat penyelarasan dan menetapkan prosedur yang lebih mudah bagi membantu perusahaan mikro dan kecil (PMK) memperoleh sijil halal.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dalam kenyataan pada Khamis berkata, usahawan itu merangkumi lebih 76 peratus daripada keseluruhan syarikat berdaftar di Malaysia.

“Ia juga menyumbang lebih 34 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, namun tidak dapat memperoleh sijil halal disebabkan keperluan untuk mendapatkan lesen daripada PBT.

“Maka perlu ada penyelarasan di peringkat Jakim dan PBT untuk mempermudah keperluan mendapatkan persijilan halal dengan penetapan prosedur mudah bagi membantu usahawan PMK ini,” katanya.

Menurutnya, DPMM menyokong penuh usaha Jakim memperkasakan Ekonomi Halal melalui Dasar Halal Negara yang akan dibawa dalam pembentangan Bajet 2023.

Justeru, DPMM turut mencadangkan agar Jakim membuat audit secara terus di negara pengeluar berbanding melalui Badan Pengiktirafan Halal negara berkenaan.

“Ini kerana isu pematuhan proses bahan mentah dan/atau penyembelihan yang meragukan turut ditemui seperti beberapa kes yang berlaku di Australia.

“Ini dapat diterjemahkan melalui tindakan segera dengan menawarkan kepakaran dalam bidang persijilan dengan mengadakan keperluan syarat untuk mengambil Halal Executive (HE) yang berasal daripada Malaysia (rakyat Malaysia).

“Maka, kita boleh meningkatkan peluang pekerjaan HE di luar negara di samping memantau proses halal di kilang-kilang tersebut, malah logo halal Jakim juga dapat ditingkatkan dan dijamin mutunya,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, DPMM turut berharap agar Jakim dapat mengiktiraf Asia Halal Body supaya industri di Malaysia dapat membeli bahan mentah dalam kalangan negara Asia walaupun kilang tersebut mempunyai sijil halal dari negara lain.

Jelasnya, langkah itu dapat mengelakkan berlakunya penipuan jaminan halal, misalnya kilang di Vietnam, tetapi sijil halal daripada China.

“Potensi Ekonomi Halal dengan Jaminan Persijilan Halal Jakim sekiranya dikembangkan ke luar negara secara menyeluruh (eksport perkhidmatan dan pengkhidmatan) boleh mencecah nilai dagangan sebanyak AS$1.3 trilion.

“Ini perlu dimanfaatkan segera, bahkan dalam Hala tuju Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) telah menyasarkan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) dalam Hab Halal dan Makanan dengan menjana nilai 'gross operating surplus' (GOS) RM11.75 bilion dengan memberikan ruang pekerjaan langsung kepada 10,924 orang,” katanya. -Sinar Harian