Tabung Haji (TH) mengadakan beberapa siri perbincangan dengan agensi-agensi keselamatan Arab Saudi dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan jemaah haji Malaysia.

Pengurus Besar Kanan TH, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata TH memfokuskan kepada tiga aspek iaitu keselamatan jemaah, latihan petugas serta keselamatan maktab kediaman.

Tegasnya, petugas-petugas TH kini bersiap sedia sepenuhnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana mahupun kecemasan.

"Petugas kita juga diberi penekanan berkenaan di mana perutgas kita telah menjalani beberapa latihan dan kursus dalam aspek keselamatan.

"Dalam aktiviti dan gerak kerja kita juga, para petugas akan ambil berat terhadap aspek keselamatan. Mereka juga bersedia jika berlakunya sebarang kemungkinan seperti bencana mahupun kecemasan," ujar beliau selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Rombongan Penerbangan Kedua Petugas Haji Tahun 2016, di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini hari ini.

Tambah Datuk Syed Saleh, selain petugas, taklimat keselamatan turut dititikberatkan kepada jemaah Haji menerusi kursus-kursus Haji selain kursus perdana Haji.

"Di mana dalam kursus-kursus Haji terutama kursus perdana Haji, kita telah memberi taklimat secara khusus berkenaan langkah-langkah keselamatan yang perlu jemaah haji ambil jika berlaku sebarang kecemasan atau bencana.

"Taklimat bersiri juga akan terus diadakan di Makkah dan Madinah apabila jemaah Haji sampai untuk mengingatkan mereka tentang perlu berhati-hati menjaga aspek keselamatan ini," katanya.

Selain itu, pihak TH turut meningkatkan keselamatan di maktab penginapan jemaah bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

BACA: LAPOR LANGSUNG Siri letupan gegarkan Arab Saudi

FOTO: Letupan berhampiran Masjid Nabawi


Pada tahun ini, TH menempatkan 600 petugas haji dari Malaysia merangkumi 350 petugas kebajikan dan 250 petugas perubatan.

Penerbangan pertama jemaah haji dijadual berlepas pada 4 Ogos depan dan pesawat terakhir ke Makkah adalah pada 5 September.

Selain itu, TH turut melakukan penambahbaikan dalam penerbangan apabila pesawat A380 Malaysia Airlines digunakan di nama ia lebih selesa dan stabil.