Skip to main content

Malaysia

TH hampir selesai laksana 90 peratus syor RCI

41756392072_RashidHussainTabu.jpg
Abdul Rashid (foto) berkata pelaksanaan syor berkenaan merupakan sebahagian daripada proses transformasi dan pembaharuan yang dilaksanakan TH sejak 2022 sebaik laporan RCI diterima. -Gambar fail
Advertisement

BANGI: Lembaga Tabung Haji (TH) hampir melengkapkan pelaksanaan 90 peratus syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), termasuk langkah memperkukuh tadbir urus, integriti, pengurusan kecairan dan pengurusan risiko institusi itu.

Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata pelaksanaan syor berkenaan merupakan sebahagian daripada proses transformasi dan pembaharuan yang dilaksanakan TH sejak 2022 sebaik laporan RCI diterima.

“Tabung Haji mesti memastikan apa yang berlaku pada masa itu tidak berulang lagi. Jadi, bukan sahaja tadbir urus korporat menjadi isu, tetapi integriti juga merupakan satu isu yang penting.

“Pada asasnya, syor RCI adalah supaya mekanisme semak dan imbang dalam institusi ini diperkukuh bagi memberikan keyakinan kepada orang awam, selain memastikan ia bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak,” katanya dalam forum Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji, pada Khamis.

Menurut Abdul Rashid, sejak syor RCI dikemukakan, TH telah melaksanakan pelbagai langkah pembaharuan khususnya dalam aspek tadbir urus korporat, pengurusan kecairan dan risiko, selain penambahbaikan latihan serta manual berkaitan tadbir urus.

“Bagi saya, apabila Tabung Haji ditubuhkan, asasnya adalah sebagai sebuah institusi simpanan untuk orang Islam. Namun, Tabung Haji juga harus dianggap sebagai sebuah institusi kewangan.

“Perkara asas bagi sesebuah institusi kewangan ialah keyakinan dan kepercayaan. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan,” katanya lagi.

Beliau berkata, syor RCI turut menekankan keperluan memastikan aspek luaran berkaitan TH dikawal selia oleh institusi yang dipercayai.

Tambahnya, proses berkenaan memerlukan pindaan terhadap undang-undang sedia ada, termasuk Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“Perkara ini mengambil masa kerana kita perlu meminda akta yang ada sekarang. Akta yang digunakan ketika ini ialah Akta Tabung Haji 1995 dan pada masanya saya fikir akta itu perlu dikaji semula.

“Kita hampir selesai dengan proses ini. Berikan saya masa kira-kira satu atau dua bulan lagi dan kita akan dapat memuktamadkan perubahan yang diperlukan bagi memastikan ciri-ciri kawal selia serta tadbir urus ini dapat dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, daripada keseluruhan 25 syor RCI, 11 adalah di bawah tanggungjawab TH, manakala lapan melibatkan pihak lain dan enam lagi masih dalam tindakan.

“Daripada 25 syor itu, 19 telah diambil tindakan, manakala enam lagi masih dalam proses,” katanya.

Menurut Mustakim, syor lain turut melibatkan usaha mengehadkan skop pengawasan Bank Negara Malaysia terhadap TH, memperkukuh proses tatatertib serta menambah baik dasar berkaitan pengeluaran simpanan dan kelayakan haji secara automatik.

Beliau berkata, TH turut memperkukuh tadbir urus institusi dengan memastikan tiada ahli politik aktif dalam pengurusan TH, sebagai antara langkah mengembalikan dan mengekalkan keyakinan pendeposit.

Tegas Mustakim, transformasi yang dilaksanakan turut memperkukuh kedudukan kewangan TH, dengan aset institusi itu kini melebihi liabiliti.

“Pelaporan kita juga kini lebih telus dan mematuhi piawaian berhemat, selain penekanan terhadap pengurusan risiko, tadbir urus dan kepimpinan profesional yang terus diperkukuhkan,” katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement