Skip to main content

Malaysia

TH ingatkan jemaah waspada tawaran ziarah luar Tanah Haram

41717145289_kaabahhajiarabs.jpg
Jemaah diingatkan bahawa pergerakan keluar dari Tanah Haram ketika berada dalam keadaan berniat haji bukan perkara remeh kerana mempunyai tatacara tertentu serta implikasi serius dari sudut hukum dan keselamatan. - Gambar hiasan

MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran pakej ziarah oleh pihak luar, khususnya yang melibatkan pergerakan keluar dari Tanah Haram seperti ke Jeddah dan Taif ketika masih berada dalam tempoh ibadah haji.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, berkata terdapat segelintir individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan pakej ziarah secara persendirian kepada jemaah, termasuk dengan janji perjalanan singkat dan kos menarik.

Menurut beliau, jemaah perlu memahami bahawa pergerakan keluar dari Tanah Haram ketika berada dalam keadaan berniat haji bukan perkara remeh kerana mempunyai tatacara tertentu serta implikasi serius dari sudut hukum dan keselamatan.

“Pergerakan keluar daripada Tanah Haram ketika jemaah masih dalam tempoh haji ada tatacara khusus dan boleh memberi kesan daripada aspek hukum syarak serta keselamatan jemaah itu sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hisham menegaskan jemaah tidak seharusnya sewenang-wenangnya menerima tawaran ziarah luar tanpa merujuk kepada pihak Tabung Haji terlebih dahulu.

“Kami menasihatkan jemaah supaya merujuk kepada TH sebelum bersetuju dengan sebarang tawaran pakej ziarah daripada pihak luar bagi mengelakkan kesulitan dan masalah di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata kegagalan mematuhi tatacara manasik haji yang betul boleh menyebabkan jemaah perlu membayar dam, selain berdepan risiko undang-undang dan tindakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Menurut Mohd Hisham, Tabung Haji menyediakan saluran rujukan yang mencukupi kepada jemaah bagi mendapatkan panduan tepat, termasuk melalui Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci dan barisan Pakar Rujuk yang berpengalaman.

“Jemaah boleh mendapatkan nasihat terus daripada Pembimbing Ibadat Haji dan Pakar Rujuk yang arif, supaya sebarang tindakan yang dibuat tidak melanggar tatacara haji dan tidak membebankan jemaah dengan dam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan semua nasihat dan panduan diberikan bukan bertujuan menyekat pergerakan jemaah, sebaliknya bagi memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan dalam keadaan sah, selamat dan terpelihara.

“Keutamaan kita ialah menjaga kesempurnaan ibadah jemaah serta kebajikan mereka sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.

 

Must Watch Video