MALAYSIA

TH, KKM perkukuh saringan kesihatan bakal jemaah haji

Ernalisa Othman 21/10/2025 | 09:45 MYT
Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika ditemubual pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan MADANI Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkat sistem pemeriksaan kesihatan wajib bagi memastikan hanya bakal jemaah yang benar-benar sihat dan layak dari segi fizikal serta mental dibenarkan menunaikan ibadah haji.


Ringkasan AI
  • Tabung Haji dengan KKM memperketat pemeriksaan kesihatan wajib bagi memastikan hanya jemaah benar-benar sihat dan layak dibenarkan menunaikan haji.
  • Langkah ini selaras dengan garis panduan kesihatan baharu Arab Saudi bagi musim haji 2026 untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan jemaah.
  • TH dan KKM menyediakan kemudahan kesihatan lengkap termasuk klinik, farmasi dan 225 petugas perubatan bagi memastikan kebajikan jemaah Malaysia di Tanah Suci terjamin.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu bukan bertujuan menyekat mana-mana individu menunaikan haji, sebaliknya sebagai usaha memastikan mereka bersedia sepenuhnya dan mampu menjalani ibadah dengan sempurna.

Menurutnya, kemampuan kesihatan adalah sebahagian daripada syarat istito‘ah dalam pelaksanaan rukun Islam kelima itu, selain kemampuan kewangan dan mental.

Beliau berkata, seseorang yang tidak berada dalam keadaan sihat sepenuhnya berisiko berdepan kesukaran menunaikan ibadah dengan sempurna, justeru pemeriksaan awal amat penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi ketika berada di Tanah Suci.

“Saya menyambut baik inisiatif Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang memperkenalkan garis panduan kesihatan baharu bagi musim haji 1447 Hijrah atau 2026 Masihi.

"Usaha ini menunjukkan keprihatinan terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan jemaah dari seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, pada Selasa

Mohd Na’im berkata, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan standard kesihatan tertentu yang wajib dipatuhi oleh semua negara pengirim jemaah, dan Malaysia akan memastikan setiap syarat itu dilaksanakan dengan penuh komitmen.

Jelasnya, langkah tersebut penting bagi memastikan kelancaran perjalanan ibadah serta mengelak risiko kesihatan yang boleh menjejaskan kesejahteraan jemaah.

Sebagai institusi yang bertanggungjawab mengurus urusan haji negara, TH bersama KKM telah merangka pelan tindakan menyeluruh bagi memastikan setiap jemaah mendapat perkhidmatan perubatan terbaik sejak dari tanah air hingga ke Tanah Suci.

“TH akan memastikan kemudahan kesihatan disediakan di semua lokasi penginapan jemaah di Mekah dan Madinah, termasuk klinik, farmasi serta tenaga perubatan terlatih bagi memantau kesihatan mereka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kes-kes serius akan dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan terus oleh pakar perubatan Malaysia di bawah KKM.

Katanya lagi, pihak berkuasa Arab Saudi turut menyediakan hospital moden di bawah sektor awam dan swasta yang dilengkapi teknologi terkini bagi menyokong perkhidmatan kesihatan kepada jemaah antarabangsa.

“Dengan kehadiran seramai 225 petugas kesihatan Malaysia di Tanah Suci, saya yakin tahap penjagaan kesihatan jemaah negara akan kekal cemerlang.

"Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), TH dan KKM akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Arab Saudi demi memastikan kebajikan, keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia terjamin sepenuhnya,” katanya.


#Jemaah Haji perlu sihat #memperkenalkan garis panduan kesihatan #kes-kes serius akan dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi #hospital moden