SUNGAI PETANI: Lembaga Tabung Haji (TH) telah memulakan penilaian secara menyeluruh terhadap operasi haji tahun ini dalam usaha meningkatkan lagi prestasi pengurusannya pada tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata walaupun Tabung Haji sebelum ini diiktiraf sebagai institusi dan pengurusan haji terbaik di dunia namun langkah itu tetap dilaksanakan untuk pengurusan haji yang lebih baik pada tahun hadapan.
“Penerbangan pulang jemaah haji Malaysia berakhir 30 Jun ini tetapi kita sudah mula melakukan ‘bedah siasat' bagi menilai operasi perjalanan haji tahun ini… untuk memastikan kita mengambil kira pandangan-pandangan dan insya-Allah, perjalanan haji tahun depan akan lebih baik lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) Peringkat Negeri Kedah 2026 di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Mengulas mengenai harapan mendapatkan tambahan kuota haji Malaysia, Zulkifli berkata usaha berterusan sentiasa dilakukan oleh kerajaan namun keputusan akhir tetap di bawah bidang kuasa Kerajaan Arab Saudi.
“Kita usaha sedaya upaya, doakan moga-moga kita dapat maklum balas positif dan boleh menghantar lebih ramai jemaah haji… kita juga mengambil maklum bahawa ketika ini, ruang untuk jemaah haji dari seluruh dunia sememangnya sangat terhad dan sentiasa dipenuhi,” katanya.
-- BERNAMA