MALAYSIA

TH lantik 31 pengelola jemaah haji (PJH) bagi musim 1447H/2026M

Azyyati Ahmad 24/10/2025 | 03:40 MYT
Mohd Hisham berkata pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memastikan PJH beroperasi mengikut piawaian. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pelantikan 31 syarikat pelancongan berlesen sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk menawarkan pakej haji bagi Musim 1447H/2026M, hasil penilaian teliti terhadap permohonan daripada 60 syarikat.


Ringkasan AI
  • Lembaga Tabung Haji memilih 31 syarikat pelancongan untuk musim haji 1447H/2026M selepas menilai 60 permohonan berdasarkan kewangan, pematuhan dan rekod prestasi.
  • Pelantikan ini menegaskan komitmen TH memastikan PJH beroperasi mengikut garis panduan dan tanggungjawab sebagai peneraju urusan haji negara.
  • Orang ramai diingatkan agar menyemak senarai rasmi PJH dan elak tawaran palsu yang melanggar Akta Tabung Haji 1995.


Menurut Ketua Jabatan Haji, Mohd Hisham Harun, penilaian yang dijalankan oleh Jawatankuasa Urusan Haji meliputi aspek keupayaan kewangan, pematuhan undang-undang, rekod pengurusan jemaah serta prestasi operasi terdahulu.

“Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memastikan PJH beroperasi mengikut piawaian, garis panduan dan syarat yang ditetapkan, selaras dengan tanggungjawab TH sebagai peneraju urusan haji negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap tawaran pakej haji oleh pihak tidak berlesen, dan menyemak senarai rasmi PJH berlesen melalui portal www.tabunghaji.gov.my.
.
“Sebarang tawaran haji oleh pihak tidak berlesen adalah menyalahi Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dianggap sebagai penipuan (scam). Tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap individu atau agensi yang terlibat,” tegasnya.

Antara syarikat yang disenaraikan termasuk TH Travel & Services Sdn Bhd, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Rayhar Travels Sdn Bhd, Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd serta beberapa lagi yang diiktiraf secara rasmi oleh TH bagi musim akan datang.





#Tabung Haji #syarikat pelancongan #Pengelola Jemaah Haji #pakej haji