MEKAH: Isu ruang sempit dan sesak di Mina bukan hanya dihadapi jemaah haji Malaysia, namun turut melibatkan negara lain terutama semasa kuota penuh haji dan juga sekiranya ada kuota tambahan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman berkata masalah itu dihadapi jemaah haji semua negara sejak sekian lama dan bukan isu yang baharu timbul.

Beliau berkata sempadan Arafah dan Mina ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah dari dahulu, walaupun jumlah jemaah haji meningkat setiap tahun seiring dengan peningkatan jumlah rakyat di sesebuah negara.

"Ruang dan saiz di dalam sebuah khemah Mina di luar kawalan TH kerana kemudahan di Arafah dan Mina disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk semua negara," katanya dalam sidang media di sini bagi menjelaskan berhubung isu itu yang diperkatakan di media sosial dan dilapor sebuah portal berita berbahasa Inggeris.

Menurutnya perkara itu telah dimaklumkan semasa kursus haji di tanah air dan ketika taklimat Masyair oleh pihak pengurusan maktab TH, termasuk sentiasa menekankan keadaan tidur di Mina tidak dapat dilakukan secara terlentang disebabkan ruangan yang sempit.

Syed Hamadah menjelaskan kemudahan tilam diperkenalkan sejak tahun lalu turut merumitkan penerimaan jemaah haji terhadap ruang yang sempit kerana beranggapan satu tilam dibekalkan untuk seorang jemaah sedangkan situasi satu tilam satu jemaah hanya terpakai ketika berada di Arafah.

Beliau berkata TH telah mengambil inisiatif awal dengan memberikan sebahagian ruang pejabat dan penginapan petugas TH dan Muassasah kepada jemaah haji, selain membenarkan jemaah haji berulang alik dari Mekah, berdasarkan kesanggupan serta daya usaha mereka sendiri.

"Di samping itu, TH juga telah meningkatkan nisbah nafar awal (melontar jamrah pada dua dari tiga hari tasyrik) yang dahulunya hanya 10 peratus kepada 50 peratus pada tahun ini bagi mengatasi kesesakan di Mina," katanya.

Syed Hamadah turut menafikan tuduhan bahawa TH tidak bertindak ke atas rungutan dan aduan kerosakan penyaman udara yang berlaku di khemah penginapan, dengan pengurusan maktab telah menghubungi pihak bertanggungjawab untuk segera membaik pulih kerosakan tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pihak Arab Saudi merancang meningkatkan infrastruktur dan kemudahan selaras Wawasan 2030 negara itu dalam menampung lima juta jemaah haji seluruh dunia.

Beliau berkata negara itu juga sedang melihat kepada aspek perkhidmatan yang disediakan agensi terlibat termasuk berkaitan pengangkutan, makanan dan kesihatan dalam memberikan keselesaan kepada jemaah haji.

"Jadi, kita akan memberikan maklum balas daripada pihak kita kepada pihak berwajib untuk melihat isu-isu yang kita hadapi sebagai negara yang datang untuk membuat haji. Mereka harus melihat bagaimana untuk mengatasinya bukan hanya jangka panjang tetapi dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA