NATIONAL
TH umum agihan keuntungan lepas zakat RM2.92 bilion untuk 9.45 juta pendeposit

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar (kiri) dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Syed Hamadah Syed Othman bergambar pada sidang media hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dalam sidang media khas pengumuman tersebut berkata, ia merupakan kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.
Tambahnya lagi, keseluruhan agihan keuntungan berkenaan berjumlah RM2.92 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit TH.
“Atas tatakelola ahli Lembaga, kecekapan barisan pengurusan dan komitmen tinggi warga Tabung Haji, perkhidmatan yang cemerlang telah berjaya digembleng demi keselesaan dan kesejahteraan para pendeposit dan jemaah haji Malaysia.“Saya dengan rasa kesyukuran kepada Allah SWT mengumumkan Agihan Keuntungan Tahun Kewangan 2024 adalah pada kadar 3.25 peratus setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.5775 peratus.
“Agihan Keuntungan 2024 ini melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.92 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit Tabung Haji,” katanya lagi.
Mohd Na’im berkata, agihan keuntungan itu dipacu oleh prestasi pelaburan yang lebih baik kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif pada tahun 2024, di samping usaha berterusan bagi mengawal kos operasi.
Dalam pada itu beliau berkata, Tabung Haji telah membantu lebih 1.5 juta umat Islam negara mengerjakan haji sejak penubuhannya, selain menanggung Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM2.8 bilion sejak diperkenalkan pada tahun 2001.
Selain berperanan menguruskan ibadat haji jemaah negara, katanya lagi, Tabung Haji turut melaburkan simpanan para pendeposit melalui pelaburan patuh Syariah dan pelunasan zakat bagi pihak pendeposit.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, Tabung Haji terus melaksanakan tanggungjawab melunaskan zakat sebanyak RM99.35 juta kepada semua Majlis-majlis Agama Islam Negeri-negeri bagi pihak pendeposit Tabung Haji pada kadar 2.5775 peratus untuk tahun 2024.
“Tabung Haji berharap dengan pelunasan zakat ini, secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha Kerajaan komited dalam usaha membasmi isu kemiskinan sekali gus akan menoktahkan miskin tegar.
“Dengan pelunasan zakat ini, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima,” katanya lagi.
Secara keseluruhan sehingga kini, Mohd Na’im berkata, Tabung Haji telah melunaskan zakat berjumlah RM1.47 bilion bagi pihak Pendeposit.
Beliau turut memaklumkan, para pendeposit boleh menyemak Agihan Keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing pada hari Ahad, 23 Mac 2025 menerusi platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik Tabung Haji iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami