MALAYSIA
Thailand, Malaysia berjaya uji tren pelancongan rentas sempadan MySawasdee

SRT dan KTMB berjaya melaksanakan ujian tren pelancongan rentas sempadan "MySawasdee" antara Padang Besar dan Surat Thani sebagai persediaan pelancaran akhir 2025. -Foto Facebook
BANGKOK: State Railway of Thailand (SRT) berjaya melaksanakan ujian tren pelancongan rentas sempadan "MySawasdee" dengan kerjasama pengendali kereta api nasional Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjelang pelancarannya yang dijadual pada akhir 2025.
Ringkasan AI
- SRT dan KTMB berjaya melaksanakan ujian tren pelancongan rentas sempadan "MySawasdee" antara Padang Besar dan Surat Thani sebagai persediaan pelancaran akhir 2025.
- Ujian teknikal melibatkan aspek keselamatan seperti sistem brek dan ketinggian gerabak, serta perancangan ujian tambahan di laluan Bangkok-Butterworth.
- Perkhidmatan tren ini dijangka memperkukuh hubungan budaya dan ekonomi Malaysia-Thailand serta memperluas pilihan perjalanan rentas sempadan.
Veeris menjelaskan bahawa semasa Persidangan Bersama KTMB-SRT ke-43 yang diadakan pada Ogos, kedua-dua pihak bersetuju dengan rangka kerja awal untuk memulakan operasi tren tetap sekitar Disember 2025.
Beliau berkata tren "MySawasdee" dikendalikan menggunakan lokomotif jenis QSY milik SRT bagi laluan Padang Besar-Surat Thani dan kembali semula pada 23 Sept.
Ujian itu meliputi pelbagai aspek teknikal utama termasuk ukuran jarak antara tren dan platform, jarak roda, ketinggian gerabak serta sistem brek bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan sebelum perkhidmatan tetap dimulakan.
Veeris turut mendedahkan bahawa perancangan sedang dibuat untuk menjalankan ujian percubaan di sepanjang laluan Bangkok-Butterworth.
Beliau berkata KTMB akan mengendalikan tren ujian tiga gerabak -- terdiri daripada satu gerabak berkuasa dan dua gerabak penumpang -- bagi ujian bersama di laluan Bangkok-Padang Besar sebagai persediaan pelancaran rasmi nanti.
"Pelanjutan perkhidmatan tren 'MySawasdee' hingga ke Surat Thani bukan sahaja menawarkan pengalaman perjalanan baharu dan unik kepada penumpang, tetapi juga membuka lebih banyak pilihan perjalanan, menjana nilai ekonomi serta memperkukuh hubungan budaya dan sosial antara Thailand dan Malaysia," katanya.
Pada masa ini, tren "MySawasdee" yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Hatyai beroperasi hanya pada musim cuti.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami