MALAYSIA

Thaipusam turut sumbang kepada sektor pelancongan, ekonomi setempat - Kon Yeow

Bernama 31/01/2026 | 06:20 MYT
Perarakan pedati perak dari Kuil Kovil Veedu di Lebuh Penang ke Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani di Jalan Kebun Bunga hari ini. - Gambar/ Bernama
GEORGE TOWN: Sambutan Thaipusam di Pulau Pinang turut menyumbang kepada percambahan sektor pelancongan negeri, merancakkan ekonomi setempat dan memberi manfaat kepada peniaga kecil, pengusaha pelancongan serta lokaliti tempatan.


Ringkasan AI
  • Sambutan Thaipusam di Pulau Pinang merancakkan sektor pelancongan negeri, memberi manfaat kepada peniaga kecil, pengusaha pelancongan, dan lokaliti tempatan.
  • Ketua Menteri Chow Kon Yeow menyatakan Thaipusam menyumbang kepada perpaduan rakyat, Visi Penang2030, dan pembangunan sosioekonomi negeri.
  • Kerajaan negeri komited dalam pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dengan bantuan infrastruktur, kemudahan digital, dan papan pintar.


Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata secara keseluruhan, Thaipusam membuktikan kepelbagaian budaya dan agama bukan sahaja memperkukuh perpaduan rakyat selari dengan Visi Penang2030 dan gagasan Malaysia MADANI tetapi juga menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi negeri.

"Apatah lagi dengan adanya penerbangan terus antara Chennai, India dan Pulau Pinang, ia bukan sahaja mengeratkan hubungan budaya antara dua wilayah serta negeri, malah dijangka meningkatkan lagi ketibaan pelancong dari India ke Pulau Pinang," katanya dalam perutusan sambutan Thaipusam di sini hari ini.

Chow berkata setiap tahun, Kuil Arulmigu Balathandayuthapani menjadi tumpuan di Pulau Pinang dengan nilai murni dalam sambutan seperti disiplin diri dan kekuatan rohani menegakkan kebaikan wajar diteladani serta menjadi asas penting membina sebuah masyarakat yang harmoni dan saling menghormati.

Beliau berkata Pulau Pinang membuktikan kestabilan politik, tadbir urus baik dan kepimpinan inklusif mampu mewujudkan ruang kebersamaan dengan semua komuniti dapat merasa, didengari, dihormati serta dilibatkan dalam arus pembangunan negeri.

Sambutan Thaipusam di Pulau Pinang unik kerana disambut sehari sebelumnya, dikenali sebagai "Chetti Pusam" yang menampilkan perarakan oleh masyarakat Chettiar membawa kira-kira 90 kavadi burung merak berserta pedati perak dan diperhebat sejak 2017 dengan pengenalan pedati emas membawa lembing Dewa Murugan.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri terus komited, terutamanya dalam memastikan pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Pulau Pinang terus mendapat perhatian.

Beliau berkata kerajaan negeri menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peruntukan sebanyak RM50 juta bagi penyelenggaraan SJKT di seluruh negara, yang dijangka turut memberi manfaat kepada keseluruhan 28 SJKT di Pulau Pinang.

"Selain peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri turut memainkan peranan proaktif dengan sebanyak RM2.42 juta telah disalurkan tahun lepas bagi menaik taraf infrastruktur sekolah, penyediaan kemudahan digital dan papan pintar.

"Ini juga bagi menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif serta selamat sejajar dengan keperluan abad ke-21 khasnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," katanya.

Merujuk kepada pembangunan di SJKT Ramakrishnan di sini yang bermula daripada sebuah blok bangunan, beliau berkata bantuan dan sokongan berterusan kerajaan negeri, barisan kepimpinan setempat dan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang , sekolah itu kini mempunyai pelbagai kemudahan untuk dinikmati 339 murid.

Chow berkata turut gembira dengan perkembangan SJKT Rajaji di Air Itam kerana akhirnya bakal memiliki bangunan sendiri yang lebih sempurna dan selesa untuk kemudahan murid demi pembangunan aset modal insan berterusan.

-- BERNAMA




#Thaipusam #pulau pinang #Chow Kon Yeow #sektor pelancongan