KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan tiada ahli Parlimen yang positif COVID-19 susulan saringan berkala yang dilakukan semalam (29 November 2021).

Ujarnya, kebanyakan kes positif COVID-19 adalah melibatkan kakitangan Parlimen.

"Ketua Pentadbir Parlimen telah memberi arahan kepada pegawai supaya mengelak daripada hadir program atau majlis sosial.

"Jangan pergi kenduri, tempat yang ramai... buat masa ini oleh kerana Parlimen masih bersidang.

"Arahan itu kepada semua untuk kakitangan Parlimen sebab kebanyakan kes yang positif itu adalah kakitangan Parlimen.

BACA: 25 kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen semalam, kemungkinan besar varian Delta

"Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semua negatif," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Jelasnya, arahan tersebut juga telah dimaklumkan kepada menteri-menteri dan ketua setiausaha semua kementerian untuk menyarankan para pegawai yang hadir ke Parlimen untuk tidak terlibat dalam program-program sosial ketika persidangan masih berlangsung.

Mengulas berkenaan cadangan pelanjutan persidangan Dewan Rakyat, Wan Junaidi berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan dan Parlimen untuk dilanjutkan sehingga 23 Disember.

Menurutnya, pelanjutan itu dilihat perlu dilakukan kerana masih terdapat beberapa Rang Undang-Undang yang perlu diluluskan.

Sidang Dewan Rakyat dijadual tamat pada 16 Disember.