[TERKINI] Kapal FFC, Thousand Madleens diserbu Israel, 8 delegasi Malaysia terlibat
MALAYSIA

Tiada anggota PDRM cedera dalam insiden bot berlanggar di Iskandar Puteri - Ketua Polis Johor

Bernama 08/10/2025 | 06:30 MYT
Ab Rahaman berkata insiden itu berlaku pada kira-kira 3 pagi ketika pasukan PPM menjalankan rondaan rutin di kawasan perairan berkenaan. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Tiada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) cedera dalam insiden pelanggaran antara bot Pasukan Polis Marin (PPM) dengan sebuah bot yang membawa 10 migran warga Indonesia di perairan Iskandar Puteri, awal pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Tiada anggota PDRM cedera dalam insiden pelanggaran antara bot Pasukan Polis Marin dan bot membawa 10 migran Indonesia di perairan Iskandar Puteri sekitar jam 3 pagi.
  • Lima migran cedera dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah, manakala kesemua migran dipercayai cuba memasuki negara secara haram; siasatan lanjut sedang dijalankan.
  • Maklumat terperinci akan diumumkan melalui kenyataan rasmi, sementara APM Johor Bahru menerima panggilan kecemasan pada 3.58 pagi dan menggerakkan pasukan ke lokasi.


Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata insiden itu berlaku pada kira-kira 3 pagi ketika pasukan PPM menjalankan rondaan rutin di kawasan perairan berkenaan.

"Tiada kecederaan di pihak PDRM manakala lima daripada 10 migran warga Indonesia cedera dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata semua migran dipercayai cuba memasuki perairan negara secara haram dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Ab Rahaman juga berkata maklumat terperinci termasuk jumlah anggota yang terlibat dan kronologi kejadian akan dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Johor Bahru dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut menerusi talian MERS 999 pada 3.58 pagi sebelum sepasukan anggotanya digerakkan ke lokasi kejadian.

-- BERNAMA



#insiden pelanggaran bot #anggota PDRM #Iskandar Puteri