Tiada arahan siasat Khalid Abu Bakar - KPN

Shuhada Abdul Kadir
Mei 14, 2018 09:50 MYT
"Tiada sebarang arahan diterima untuk menyiasat Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar)," - Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Tiada sebarang arahan diterima untuk menyiasat bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Beliau menjelaskan setakat ini pihaknya tidak menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung sebarang isu membabitkan Khalid.
"Setakat ini, polis tiada perkara hendak disiasat tetapi jika ada asas atau laporan daripada pihak tertentu, kita akan jalankan siasatan jika perlu," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan media sebelum ini yang mendakwa Khalid sedia disiasat mengenai apa saja masalah berhubung isu yang timbul sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 .
Ia susulan nama beliau dan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali disenaraikan sebagai antara individu yang disiasat kerajaan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
BACA: 'Malaysia kini tiada Peguam Negara' - Tun M
BACA : Tiba masa 1MDB, 'bukan lagi rahsia' - TI-M
Sementara itu, berhubung dakwaan polis menyerbu pangsapuri mewah di ibu negara dipercayai milik keluarga bekas pemimpin negara Sabtu lalu, Mohamad Fuzi berkata, ia hanya pemantauan keselamatan.
“Pemantauan dibuat kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini terhadap bekas Perdana Menteri itu dan pada masa sama memastikan keadaan keselamatan di kediaman itu," katanya.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Ketua Polis Negara #Khalid Abu Bakar #Mahathir Mohamad #Media #Peguam Negara #Perdana Menteri #pilihan raya #polis #siasatan