PUTRAJAYA: “Tiada bukti menunjukkan kod ‘salam’ antara Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md Arip berkaitan rasuah,” kata Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu.

Perkara itu dimaklumkan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang melepaskan dan membebaskan Isa, 75, daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berhubung jual beli Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Vazeer Alam berkata, dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, saksi pendakwaan ke-21 (SP21), (ketika itu) pegawai khas politik Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip memberitahu hakim perbicaraan bahawa ‘salam’ daripada Isa sebagai petanda meminta wang.

Bagaimanapun, Vazeer Alam yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah berkata, tiada bukti menunjukkan wujud persefahaman sedemikian Isa selaku perayu dan SP21, untuk menggunakan kod itu.

“SP21 menyatakan perayu memberi ‘salam’ sebelum setiap transaksi, beliau (Muhammad Zahid) kemudiannya bersetuju bahawa perayu tidak memberikan ‘salam’ sebagai isyarat bagi setiap transaksi.

“Kami dapati, wujud percanggahan material dalam jawapan yang diberikan oleh SP21,” katanya.

Hakim ini berkata, sedangkan ia dikatakan isyarat kepada SP21 untuk menuntut bayaran dibuat daripada bekas Ahli Lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel (SP16) dan tidak dinilai dengan betul oleh hakim bicara.

Menurutnya, hakim Mahkamah Tinggi sepatutnya menilai jawapan SP21 ketika pemeriksaan balas kerana ia sangat penting dan membantu hakim bicara untuk meneliti kredibiliti, konsistensi dan ketepatan keterangannya.

“Lebih-lebih lagi apabila SP21 menyatakan jumlah yang dipersetujui untuk dibayar oleh SP16 ialah RM3 juta, namun apabila jumlah yang dinyatakan dalam sembilan pertuduhan itu dikira melebihi RM3 juta.

“Tiada penjelasan munasabah diberikan oleh SP21 untuk percanggahan ini,” katanya.

Pada 24 Oktober 2019, ketika memberi keterangan, SP16 berkata, setiap kali SP21 mengirim ‘salam’, saksi itu memahami perkara tersebut sebagai petanda Isa memerlukan wang.

Berdasarkan pernyataan saksi, SP16 berkata, setiap kali perjumpaan antara mereka hanya SP21 datang bersendirian.

Pada Rabu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini memaklumkan, Isa dilepaskan dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta kerana bayaran pertuduhan suapan itu tidak disokong bukti yang boleh dipercayai.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan, kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak. - Sinar Harian