MALAYSIA

"Tiada bukti", Namewee dilepaskan dengan jaminan polis esok - AG

Umavathi Ramayah 12/11/2025 | 13:00 MYT
Yun Hsin (kanan) ditemui mati dalam tab mandi di bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, pada 22 Oktober lalu, sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiada bukti yang menunjukkan penyanyi dan pengarah kontroversi, Namewee, 42, terlibat dalam kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu.


Ringkasan AI
  • Tiada bukti mengaitkan Namewee dengan kes kematian wanita Taiwan di hotel Kuala Lumpur bulan lalu. Peguam Negara akan melepaskan Namewee dengan jaminan polis.
  • Peguam Negara telah memerintahkan siasatan lanjut berkaitan kes tersebut dan akan ambil tindakan jika terdapat penemuan baru hasil siasatan itu.
  • Namewee direman selama sembilan hari bagi membantu siasatan kes berkenaan di mana polis mendakwa beliau mempunyai hubungan istimewa dengan mangsa yang ditemui mati dalam tab mandi hotel di Jalan Conlay.


Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan kepada Astro AWANI, Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee akan dilepaskan dengan jaminan polis pada Khamis.

“Kita peroleh kertas siasatan berhubung kes ini daripada polis dan selepas meneliti, kita mendapati tiada bukti yang menunjukkan suspek terbabit dalam kes pembunuhan pempengaruh dari Taiwan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Sehubungan itu, Mohd Dusuki memberitahu, pihaknya sudah mengeluarkan arahan supaya siasatan lanjut dijalankan berhubung kes berkenaan.

“Bagaimanapun, sekiranya terdapat penemuan baharu hasil siasatan lanjut itu, kita (Jabatan Peguam Negara) akan mengambil tindakan sewajarnya,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

Beliau turut berkata, kertas siasatan itu telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Rabu.

Namewee direman enam hari sejak 5 November lalu, sebelum tempoh remannya disambung tiga hari lagi sehingga Khamis bagi membantu siasatan kes itu.

Berdasarkan siasatan awal, polis memberitahu lelaki itu didakwa mempunyai hubungan istimewa dengan mangsa dan mereka dilaporkan bersama sejak berada di luar negara sebelum kejadian berlaku.

Mangsa, Hsieh Yun Hsin, 33, ditemui mati dalam tab mandi di bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, pada 22 Oktober lalu, sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

Kes berkenaan pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) namun kemudiannya disiasat semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selepas polis mendapati Namewee dipercayai merupakan individu terakhir yang dilihat bersama mangsa sebelum kematiannya.



#Namewee #Hsieh Yun Hsin #Namewee disahkan akan dibebas dengan jaminan polis #Namewee dan hubungan istimewa dengan Hsieh Yun Hsin