KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada cadangan untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) buat masa ini memandangkan telah ada kenaikan yang dibuat menerusi Belanjawan 2023.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Siti Aminah Aching berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan pekebun kecil getah yang mengalami pendapatan terjejas apabila harga getah merosot.

Beliau berkata seperti komoditi lain, getah asli adalah berorentasikan eksport manakala harganya bergantung kepada persetujuan antara pembeli dan penjual, sekali gus berada di luar kawalan kerajaan.

"Kerajaan menyedari beban pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah, oleh itu kerajaan telah bersetuju menaikkan PHP IPG sebanyak 20 sen, iaitu daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram.

"Jumlah peruntukan yang disediakan adalah sebanyak RM350 juta seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2023," katanya semasa persidangan Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) sama ada kerajaan bercadang untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3 sekilogram bagi menyerap impak kejatuhan pendapatan para penoreh ketika ini.

Siti Aminah berkata sekiranya PHP IPG harga dinaikkan kepada RM3 sekilogram berbanding RM2.70 sekilogram yang dilaksanakan ketika ini, anggaran keperluan kewangan kerajaan pada 2023 diunjurkan sebanyak RM457 juta.

Jumlah itu berdasarkan unjuran jumlah pengeluaran getah sebanyak 400,000 tan dengan harga purata getah Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 pada RM6.10 sekilogram, katanya.

-- BERNAMA