KUCHING: PetrosNiaga Sdn Bhd (PetrosNiaga), anak syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros) memberi jaminan bahawa harga silinder LPG bersubsidi 14 kilogram (kg) tidak berubah bagi pelanggan domestik di Sarawak.

PetrosNiaga dalam kenyataan hari ini berkata syarikat itu bekerjasama rapat dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak untuk memastikan tiada caj tambahan apabila pelanggan menukar silinder LPG lain kepada silinder LPG Petros (merah) atau Gas Petronas (hijau) selain kos pengisian semula.

"Harga silinder Petros LPG bersubsidi untuk kegunaan isi rumah dikekalkan pada RM26.60 (bagi pembelian sendiri di kedai).

"PetrosNiaga juga telah memaklumkan kepada rangkaian 65 pengedar di seluruh negeri bahawa pelanggan boleh bertukar kepada silinder Petros LPG tanpa sebarang caj tambahan," katanya.

Menurut kenyataan itu, pelanggan turut diminta untuk melaporkan mana-mana peniaga yang mengenakan bayaran tambahan menerusi khidmat pelanggan PetrosNiaga di talian 1300-882-122 agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Bermula esok (1 Dis), PetrosNiaga akan menjadi pembekal tunggal LPG bersubsidi 14kg untuk kegunaan isi rumah di Sarawak.

Menurut kenyataan itu, silinder Petros LPG bersubsidi 14kg boleh dibeli melalui rangkaian pengedar PetrosNiaga di seluruh Sarawak.

-- BERNAMA