MALAYSIA

Tiada campur tangan kerajaan dalam Majlis Media Malaysia - Fahmi

Madiha Abdullah 15/07/2025 | 10:31 MYT
Fahmi (lima, kiri) bergambar bersama sebahagian penerima watikah pelantikan Anggota Lembaga Pengasas MMM di Menara Komunikasi hari ini. Turut kelihatan, Ashwad (dua, kanan). - fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Majlis Media Malaysia (MMM) akan beroperasi secara bebas tanpa campur tangan kerajaan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.


Ringkasan AI
  • Majlis Media Malaysia akan beroperasi secara bebas tanpa campur tangan kerajaan, dengan sokongan dari segi perundangan dan pendanaan bagi memastikan kelancaran awal operasinya.
  • Pelantikan Anggota Lembaga Pengasas MMM dibuat berdasarkan kepakaran dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi, susulan penggubalan Akta MMM 2025 yang berkuat kuasa sejak 14 Jun.
  • Mesyuarat Agung Tahunan pertama MMM dijadual berlangsung pada 7 November 2025, menandakan permulaan rasmi peranan majlis dalam memperkukuh ekosistem media negara.


Beliau menegaskan, peranan kerajaan hanyalah memberikan sokongan dari segi perundangan dan pendanaan, bukan dalam pengurusan atau arah tuju.

"Kami (kerajaan) hanya membolehkan Majlis Media diwujudkan dan bergerak. Kami tak ada niat mahu mengawal atau mengarahkan. Kami mahu anda bebas berbincang dan membuat pengaturan.

"Kami akan membantu dengan menyediakan, sama ada dari segi perundangan ataupun sedikit sebanyak pendanaan membolehkan Majlis Media ini bergerak lancar terutama dalam tahun-tahun pertama," katanya
ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan sebagai Anggota Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia, pada Selasa.

Fahmi menyampaikan enam daripada 12 watikah pelantikan kepada Anggota Lembaga Pengasas MMM yang dilantik berdasarkan kepakaran, pengalaman dan sumbangan dalam bidang kewartawanan, media, akademik dan komunikasi.

Pelantikan itu adalah susulan daripada penggubalan Akta MMM 2025 (Akta 868) yang mula berkuat kuasa pada 14 Jun lalu.

Antara yang dilantik ialah Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail; Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJM), Teh Athira Yusof; dan Pengarah Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Radzi Abdul Razak.

Mesyuarat Agung Tahunan MMM pertama dijadualkan pada 7 November depan.






#Fahmi Fadzil #kawalan media #Kerajaan Madani #Majlis Media Malaysia