Tiada cubaan culik pelajar sekolah di Melaka - Polis

Bernama
Februari 4, 2016 12:10 MYT
Polis ada menerima laporan berhubung cubaan culik berkenaan namun hasil siasatan mendapati kejadian itu tidak wujud. -Gambar hiasan
Siasatan polis mendapati tidak wujud cubaan untuk menculik pelajar sekolah di Batu Berendam dan Ayer Keroh seperti diviralkan di media sosial baru-baru ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Kamaluddin Kassim.
Beliau berkata polis ada menerima laporan berhubung cubaan culik berkenaan namun hasil siasatan serta soal siasat terhadap pembuat laporan dan individu yang didakwa cuba diculik mendapati kejadian itu tidak wujud.
"Satu daripada kes berkenaan polis dapati kanak-kanak yang didakwa cuba diculik sebenarnya berasa takut dengan seorang pemotong rumput yang bertopeng," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyebaran berita dan laporan polis menerusi Facebook dan WhatsApp berhubung dua cubaan culik pelajar sekolah berkenaan.
Sehubungan itu beliau menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang kejadian atau kes jenayah sebelum siasatan polis selesai bagi menjaga ketenteraman awam.
"Orang ramai dinasihatkan menghubungi polis untuk mendapatkan kepastian tentang sesuatu kes dan bukannya menyebarkan berita yang diperoleh sewenang-wenangnya.
"Polis Melaka memberi jaminan bahawa keselamatan masyarakat di negeri ini adalah keutamaan kami," katanya.
#ayer keroh #Batu Berendam #cubaan culik #Kamaluddin Kassim #pelajar sekolah